Realtime website trackingweb stats

Ramai tertanya berapa bayaran imam tarawih, imam ini ‘bocor rahsia’ rupanya cecah lima angka

Oleh ADINDA

Sebelum ini mungkin ramai tertanya-tanya berapa sebenarnya bayaran imam tarawih.

Sekarang tidak lagi timbul pertanyaan begitu memandangkan seorang imam dari Kelantan sudah ‘bocor rahsia’.

Rupanya, bayaran imam bagi solat tarawih sepanjang tempoh sebulan Ramadan sebenarnya mencecah lima angka.

Ramai tertanya berapa bayaran imam tarawih, imam ini 'bocor rahsia' rupanya cecah lima angka

Imam Satu Masjid Tengku Muhammad Faris Petra Bandar Kuala Krai, Ahmad Maher Safiain, 30, berkata, jumlah itu sudah menjadi kebiasaan di Kelantan.

“Sepertimana kami menawarkan RM6,000 kepada imam tarawih untuk Ramadan kali ini.

“Di masjid kami, sepanjang 30 Ramadan akan ada dua imam yang bertugas dan bayarannya mencecah RM12,000 untuk sebulan,” katanya, lapor Sinar Harian.

Terdahulu, hantaran Ahmad Maher mencari imam tarawih dengan bayaran RM6,000 sepanjang Ramadan tular di media sosial sejak 23 Februari.

Ahmad Maher turut memaklumkan bayaran imam tarawih di Madinah Ramadan juga mencecah hampir RM20,000.

Menurut beliau, tujuan menguar-uarkan bayaran sebagai imam tarawih itu adalah untuk membuka mata semua pihak sekali gus mengangkat lagi imej imam.

Ahmad Maher memberitahu, ia juga bagi memberi kesedaran bahawa bayaran imam perlu dinaikkan berpandukan kepada peningkatan kos sara hidup ketika ini.

Ujarnya, tawaran tersebut hanya terbuka kepada warga tempatan sahaja yang mempunyai kelayakan menjadi imam.

Ahmad Maher berkata, semasa berusia 14 tahun, beliau pernah menjadi imam tarawih dan hanya menerima sebekas kuih akok sepanjang Ramadan.

Menurutnya, zaman sudah berubah, apabila diusia sekarang beliau dibayar RM1,000 satu malam untuk menjadi imam tarawih jemputan di Kuala Lumpur.

“Menjadi imam tarawih bukan tugas mudah, selain tampil dengan bacaan yang merdu, kami juga perlu menjaga kualiti bacaan, sebutan dan sifat huruf dengan penuh rapi serta sebaik mungkin.

“Hal ini bagi memastikan ia tidak melanggar hukum tajwid,” katanya.

Dalam masa sama, jelasnya, beliau melihat pihak masjid yang menggunakan khidmat imam terawih perlu kreatif dalam mencari sumbangan.

“Janganlah hanya bergantung kepada tabung masjid semata-mata.

“Malah jemaah serta orang ramai juga sanggup menyumbang bagi merebut pahala berganda sepanjang Ramadan,” kata Ahmad Maher lagi.

Baca:

Peniaga perlu ‘stop’ guna ubat stapler jika tidak mahu dikenakan saman dan penjara

Tak perlu tebuk dinding, ini cara betul pasang ‘exhaust fan’ di rumah

Satu mangkuk tak cukup! Resipi kuey teow sup ori Thailand memang terangkat