Ada individu yang gemar memasang pelbagai jenis aksesori untuk menghias kenderaan mereka
. Bagi mereka, ini menambah nilai estetika kereta, namun sering kali mereka terlupa tentang aspek keselamatan ketika di jalan raya.
Menurut pencipta kandungan Adrian_WapCar.my, terdapat empat aksesori yang sebaiknya tidak dipasang pada kenderaan anda:
1. Karpet Salah Saiz
Menurut Adrian, penggunaan karpet kereta yang tidak sesuai saiz boleh mengganggu fungsi brek semasa kecemasan.
Kegagalan untuk menekan brek dengan betul boleh menyebabkan kemalangan yang serius, membahayakan nyawa pemandu, penumpang, serta pengguna jalan raya yang lain. Sarannya adalah untuk memilih karpet kereta yang sesuai dengan saiz yang betul.
2. Penutup Papan Pemuka
Adrian juga menegaskan bahawa pemasangan penutup papan pemuka atau dashboard cover boleh mengganggu fungsi beg udara. “Ini boleh menyebabkan airbag tidak dapat berfungsi dengan baik semasa kemalangan,” jelas Adrian dalam video tular di TikTok.
3. Klip Tali Pinggang Keledar
Pemasangan klip tali pinggang keledar yang tidak memenuhi spesifikasi kilang boleh menyebabkan masalah semasa brek kecemasan. “Jika klip tersebut tidak mampu menahan berat badan anda, ia boleh pecah dan menyebabkan anda terpelanting ke depan,” katanya. Klip tali pinggang keledar yang tidak sesuai serta pelekat stereng juga boleh membahayakan nyawa anda. “Sekiranya pihak insurans melihat aksesori ini dalam kereta, mereka mungkin tidak akan memproses tuntutan anda,” tambahnya.
4. Stiker
Pelekat atau stiker seperti batu permata sering dipasang pada roda stereng. Adrian menjelaskan bahawa pemasangan pelekat ini pada stereng boleh membawa risiko keselamatan. Jika beg udara meletup, pelekat tersebut juga boleh terkena wajah pemandu.
“Sekiranya airbag meletup, ia boleh mencederakan anda, terutamanya jika terkena muka,” katanya. “Walaupun aksesori ini nampak menarik, ia tidak mempunyai fungsi praktikal dan menimbulkan risiko keselamatan yang tinggi,” ujarnya.
BACA: Les’ Copaque akan lancarkan game Upin & Ipin buat ramai kanak – kanak teruja