Ramai rupanya masyarakat di negara ini taasub dengan ‘Mawla Amin’ yang ‘menunggang’ nasab suci Nabi Muhammad.
Hinggakan ada pengikut Mawla Amin yang ‘hangus’ wang dan harta benda demi menjayakan hasrat penempatan Kerajaan 9 di Melaka sebagai persiapan akhir zaman.
Dakwaan lelaki warganegara Maghribi itu konon dirinya mempunyai jalur keturunan ke-38 daripada Nabi Muhammad SAW adalah palsu.
Malah, Kementerian Luar Maghribi, Bahagian Hal Ehwal Asean pun sudah menyatakan bahawa individu ‘gila’ itu tidak mempunyai kaitan dengan nasab suci Baginda SAW.
Dia juga tidak mempunyai sebarang perkaitan dengan Sharif Idrissi di Maghribi atau mana-mana jalur keturunan Nabi Muhammad SAW yang lain.
Lebih mengejutkan, lelaki itu adalah warga Perancis-Algeria bukannya warganegara Maghribi tetapi sengaja mengambil kesempatan terhadap reputasi ulama Maghribi.
Mawla Muhammad Amin atau nama sebenarnya Mohamed Amin Ouradj mengeksploitasi nasab suci Rasulullah SAW untuk menarik perhatian pengikut serta pendukungnya.
Justeru, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar mengingatkan orang ramai supaya menjauhkan diri daripada sikap taasub berikutan isu seorang lelaki mendakwa sebagai warga Maghribi dan berada dalam jalur keturunan Nabi Muhammad SAW.
Menurutnya, ketaasuban melampau dalam sesuatu perkara adalah berbahaya kepada diri dan masyarakat.
Tegasnya, sikap taasub akan menyebabkan seseorang mudah terpengaruh dengan sesuatu dakwaan oleh individu mahupun kumpulan tertentu.
“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mengikuti perkembangan laporan akhbar tempatan, Harian Metro, pada 20 Februari 2024 bertajuk ‘Eksploitasi Nasab Suci Nabi’ serta laporan yang berkaitan.
“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa agama Islam, khususnya Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menyiasat pendedahan yang dinyatakan dalam akhbar berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Mohd Na’im menegaskan, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba mengeksploitasi agama untuk kepentingan diri mahupun kumpulan tertentu.
Dalam masa sama, beliau menasihatkan semua pihak untuk sentiasa merujuk JAIN berkaitan urusan pentauliahan pendakwah supaya setiap perkara disampaikan adalah selari ajaran Islam.
“Semua pihak diminta sentiasa berpegang kepada neraca ilmu, fakta dan menjauhkan diri daripada taasub,” ujarnya.
Terdahulu, PDRM dilapor memantau kegiatan seorang lelaki mendakwa sebagai warganegara Maghribi yang dikenali dalam kalangan pengikutnya sebagai ‘Mawla Amin’, dan mengaku mempunyai jalur keturunan ke-38 daripada Nabi Muhammad SAW.
Seorang mudir sebuah madrasah di Selangor yang dikatakan turut aktif mempromosikan ‘Mawla Amin’, didakwa mengutip dana awam secara tidak sah, selain cuba mewujudkan penempatan Kerajaan 9 di Melaka sebagai persiapan akhir zaman kepada pengikutnya.
Baca:
Nama melonjak hari demi hari puncak kegemilangan karier seni Amelina ratu dangdut Malaysia
Kekacang bagus untuk kesihatan, ikuti resipi ringkas untuk buat biskut florentine ‘crunchy’
Lelaki diikat & dibelasah hingga mati selepas terlibat kemalangan langgar lari