Ramai Penjawat Awam Terjerat Hutang! Ini Amaran Keras Kerajaan – Jangan Sampai Kena Tindakan! Penjawat awam disarankan agar berbelanja secara berhemah dan mengikut kemampuan bagi mengelakkan diri daripada terbeban dengan hutang yang berlebihan.
Menurut Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, keberhutangan melampau bukan sahaja memberi tekanan kewangan tetapi juga boleh membawa kepada tindakan tatatertib sekiranya seseorang penjawat awam berhutang sehingga 10 kali ganda gaji bulanan. Hal ini termaktub di bawah Sub-Peraturan 13 (7) Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.
Hutang Berlebihan Boleh Sebabkan Tindakan Tatatertib
“Apa yang dikatakan sebagai keberhutangan melampau adalah apabila jumlah hutang seseorang penjawat awam mencecah 10 kali gaji bulanannya.
“Kedua, jika seseorang pegawai gagal melunaskan hutang penghakiman dalam tempoh sebulan atau diisytiharkan bankrap oleh mahkamah, ia juga dianggap satu kesalahan serius,” jelasnya.
106 Pegawai Telah Dikenakan Tindakan
Tan Sri Shamsul Azri turut mendedahkan bahawa sehingga tahun 2023, seramai 106 pegawai awam telah dikenakan tindakan tatatertib akibat keberhutangan melampau yang membawa kepada status bankrap.
Berdasarkan pekeliling yang telah ditetapkan, penjawat awam mesti memastikan pendapatan bersih mereka sekurang-kurangnya 40% daripada gaji bulanan. Namun, pengecualian diberikan bagi pinjaman yang melibatkan pendidikan dan perumahan.
Beliau turut menegaskan bahawa ketua jabatan perlu memainkan peranan dalam memantau gaya hidup pegawai di bawah seliaan mereka. Jika terdapat pegawai yang menghadapi masalah kewangan, mereka boleh dirujuk kepada Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) atau pegawai psikologi bagi mendapatkan bantuan yang sewajarnya.
Gaya Hidup Mewah & Kurang Literasi Kewangan Antara Punca
Mengulas lebih lanjut, beliau menyatakan bahawa salah satu punca utama penjawat awam terperangkap dengan hutang adalah gaya hidup mewah yang tidak sejajar dengan pendapatan serta kurangnya kesedaran mengenai pengurusan kewangan.
“Ramai yang ingin menyaingi gaya hidup orang lain tanpa mengambil kira kemampuan sendiri. Sebab itu saya sering menasihatkan penjawat awam untuk tidak membandingkan diri mereka dengan orang lain dan lebih bijak dalam merancang kewangan.
“Saya juga menggalakkan ketua jabatan untuk menghantar pegawai mereka ke AKPK kerana terdapat kursus khas yang mengajar cara mengurus kewangan peribadi dan keluarga dengan lebih efektif,” ujarnya.
Program Literasi Kewangan Akan Diperkasakan
Sebagai langkah penyelesaian, kerajaan akan terus memperkasakan program literasi kewangan dalam kalangan penjawat awam agar mereka lebih bijak dalam mengurus kewangan dan tidak mudah terjerumus dalam hutang yang tidak perlu.
“Saya menasihatkan penjawat awam untuk hanya berhutang bagi keperluan penting seperti pendidikan anak-anak dan pembelian rumah. Namun kini, ada yang sanggup berhutang hanya untuk membeli telefon bimbit, yang sepatutnya bukan keperluan utama.
“Saya juga akan meminta Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk bekerjasama dengan AKPK dalam meningkatkan pemahaman tentang pengurusan kewangan dan aspek berkaitan kerahsiaan peribadi,” tegasnya.
Sebagai penjawat awam, mengurus kewangan dengan baik bukan sahaja dapat mengelakkan tekanan hidup tetapi juga menjamin kestabilan kewangan untuk jangka masa panjang. Jadi, belanjalah secara bijak dan berhutang hanya untuk perkara yang benar-benar perlu!
Baca lagi :
Kerajaan Sarawak umum bonus 2 bulan gaji kepada penjawat awam, pelajar IPT pun terima tempias
Selepas penjawat awam, pegawai bank pula bakal nikmati kenaikan gaji 9%
Gaji RM4500 tolak komitmen RM700 masih nak tambah hutang, netizen terkejut dengan penjawat awam