Menurut Redhuan Esa, Ketua Pemuda AMANAH Tenggara, sejak PROKLAMASI DARURAT 2021 dilaksanakan 11 Januari 2021, kes jangkitan terus meningkat tertinggi sebanyak 9092 kes dan 126 kematian.
Darurat 2021 dilaksanakan untuk melandaikan lengkuk jangkitan COVID-19 namun dilihat tidak mencapai objektif yang disasarkan. Nyawa dan kesihatan rakyat terus terancam sehingga Kementerian Kesihatan memberi amaran bahawa perkhidmatan kesihatan awam akan lumpuh menjelang 5 Jun 2020.
AHLI JAWATANKUASA KHAS BEBAS DARURAT 2021 ditubuhkan sebagai badan bebas untuk memberi pandangan dan nasihat kepada Yang Dipertuan Agong (YDPA) secara bebas atas keputusan berkenaan tempoh masa darurat dan lain-lain hal yang berkenaan mengikut bidang kuasa yang dibenarkan.
Dimana peranan Ahli Jawatankuasa Bebas Darurat 2021 ini? Soal Redhuan.
Pimpinan Kerajaan melalui Kabinet dilihat carca marba dan hilang arah dalam melaksanakan tugas serta dilihat tiada “collective decision” dalam menentukan satu dasar dan keputusan yang melibatkan nyawa dan kesihatan rakyat.
Tambah Redhuan lagi, ahli Jawatankuasa Bebas Darurat 2021 perlu menjalankan peranannya dengan memberikan nasihat tegas dan menggunakan bidang kuasanya untuk bersama YDPA untuk menyelamatkan nyawa dan kesihatan rakyat. Rakyat tidak boleh lagi bergantung harap kepada kuasa eksekutif Perdana Menteri dan Menteri didalam Kabinet yang gagal. Kita tidak mahu rakyat hilang kepercayaan kepada ahli politik dan institusi pentadbiran kerajaan untuk menyelamatkan nyawa dan kesihatan mereka.
Sebelum ini, pada 9 Februari 2021 lalu Perdana Menteri mengumumkan pelantikan Ahli Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 selepas diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 itu ditubuhkan mengikut Seksyen 2 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 dan dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Ariffin Zakaria.
Keanggotaannya terdiri daripada pakar kesihatan awam, wakil parti politik pembangkang dan kerajaan, tokoh bidang pendidikan, kesihatan, keselamatan, ketenteraman awam, pentadbiran awam dan undang-undang, mufti serta wakil dewan perniagaan.