Pelajar sudah berkahwin dan bekerja antara punca calon tak hadir SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) 2023, selain ada yang meninggal dunia.
Punca tersebut didedahkan oleh Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS), Nurani Fauziah Derin pada sidang media, hari ini.
Menurut Nurani Fauziah, punca tersebut mula disedari pihak JPNS sejak hari pertama SPM 2023 berlangsung apabila mendapati ramai calon tidak hadir menduduki peperiksaan.
Difahamkan, seramai 984 calon di Sabah tak hadir menduduki peperiksaan SPM 2023.
“Kita dapati ramai yang tidak hadir tapi punca ketidakhadiran itu ada pelbagai faktor, ada yang sudah bekerja, berkahwin dan kembali kepadaNya (meninggal dunia).
“Itu antara faktor yang kita lihat tapi ada juga yang memang mungkin kurang berminat (menduduki SPM),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai punca 984 calon SPM 2023 di Sabah tidak menghadiri peperiksaan itu.
Bagaimanapun, jumlah tersebut dikatakan menurun seramai 1,564 calon yang tidak hadir berbanding SPM 2022.
“Insya Allah, kita akan lihat bagaimana kita boleh membantu anak-anak ini.
“Ada yang memang mungkin kurang minat ke sekolah, tapi insya Allah kita akan lihat apa yang boleh dibantu,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau mengakui jumlah calon yang tidak hadir SPM tersebut agak membimbangkan kerana mereka akan menghadapi kesan pada kemudian hari.
“Jumlah itu agak membimbangkan kerana impak mereka ini akan kita lihat kemudian di luar sana nanti di bidang pekerjaan dan juga dalam kehidupan secara menyeluruh.
“Ini kerana SPM ini membuka ruang kepada banyak peluang di luar sana, dengan ada SPM mereka boleh melakukan pelbagai benda untuk meneruskan kelangsungan hidup.
“Jadi, sekiranya anak-anak kita ini tiada SPM, ia akan menjejaskan sedikit kelangsungan hidup mereka kemudian nanti,” ujar Nurani.
Sekadar info, Sabah mencatatkan peningkatan prestasi dalam SPM 2023 dengan Gred Purata Negeri (GPN) 5.09 berbanding 5.22 pada SPM 2022.
Seramai 484 calon atau 1.38 peratus daripada 35,126 calon SPM dari Sabah pada tahun lalu memperoleh keputusan cemerlang semua A (gred A+, A dan A-) berbanding 344 calon (0.95 peratus) pada SPM 2022.
Secara keseluruhan, seramai 10,160 daripada 383,685 calon tidak hadir menduduki peperiksaan itu dan jumlah ketidakhadiran itu telah mengejutkan ramai kerana ia meningkat secara drastik.
Malah, ada netizen mendakwa ramai pelajar menganggap SPM tidak penting kerana mereka mahu menjadi pempengaruh media sosial.
BACA: Tak sangka! Rupanya amalan cium batu nisan ketika ziarah kubur amalan mungkar ramai tak tahu