Umum mengetahui bahawa manusia diciptakan dengan pelbagai perbezaan; ada yang dilahirkan dengan bentuk badan yang sempurna, manakala yang lain mungkin sebaliknya.
Oleh itu, di dunia ini terdapat pelbagai kemudahan yang tidak hanya memberi perhatian kepada golongan majoriti,
tetapi juga memperhatikan golongan minoriti, termasuk Orang Kurang Upaya (OKU).
Kemudahan yang disediakan untuk OKU termasuklah tempat letak kenderaan,
mesin pengeluaran wang automatik (ATM), dan pelbagai kemudahan lain.
Penyediaan kemudahan ini bertujuan untuk membantu dan memudahkan urusan golongan OKU agar mereka dapat menjalani kehidupan dengan lebih baik, sama seperti orang lain.
Baru-baru ini, tular sebuah video di mana seorang lelaki (@Ibk2907) menjelaskan langkah-langkah penggunaan mesin ATM bersuara khusus untuk golongan OKU. Lelaki tersebut, Loh Boon Keat, merupakan seorang yang mempunyai kecacatan penglihatan dan aktif membuat video informasi mengenai OKU.
Dalam video tersebut, Loh dibantu oleh seorang lelaki yang merakam cara penggunaan mesin ATM yang terletak di Hong Leong Bank, Brickfields, Kuala Lumpur.
@lbk2907Inilah satu-satunya ATM machine yang ada voice guidance yang boleh digunakan oleh Blind Visually Impaired person di Malaysia.♬ original sound – Loh Boon Keat
“Hari ini saya nak kongsikan tentang ATM bersuara. Mungkin ramai yang tidak tahu mengenai kemudahan ini yang ada di Malaysia,” katanya dalam video tersebut.
Diketahui bahawa mesin ATM ini dihasilkan khusus untuk golongan OKU, dengan jubin yang telah ditambah dengan tack tiles yang biasa digunakan oleh mereka. Label “visual impairment friendly” juga diletakkan pada mesin tersebut agar orang lain tidak menggunakan mesin itu.
“Mesin ATM ini tidak berbeza dengan mesin biasa, cuma ia dilengkapi dengan tempat untuk audio jack,” jelasnya.
“Pengguna boleh menyambungkan earphone atau fon telinga, tetapi perlu berhati-hati dengan jenama Apple kerana ia tidak akan berbunyi jika digunakan,” tambahnya.
Loh juga menggunakan pembesar suara dalam video tersebut agar semua orang dapat memahami cara penggunaan mesin tersebut. Beliau menjelaskan bahawa orang ramai perlu menggunakan pad nombor dan tidak menekan skrin paparan.
“Mesin ini terhad kepada perkhidmatan semakan baki dan pengeluaran duit sahaja. Pemindahan wang tidak boleh dilakukan di sini,” ujarnya.
Cara Menggunakan ATM Bersuara
Untuk mengetahui cara penggunaan mesin ATM bersuara, ikuti langkah-langkah berikut:
Pertama sekali, keluarkan kad bank dan earphone untuk digunakan dengan mesin tersebut.
Sambungkan earphone ke bahagian audio jack. Anda juga boleh mengawal kelantangan suara di sebelah tempat itu. Selepas itu, pilih bahasa yang diingini.
Setelah mendengar arahan, masukkan kad bank ke dalam slot yang disediakan.
Masukkan PIN dengan menekan pad nombor.
Mesin akan memberikan dua pilihan: tekan 1 untuk semakan baki dan tekan 2 untuk pengeluaran wang.
Jika memilih untuk mengeluarkan wang, pilih daripada akaun ‘Semasa’ atau ‘Simpanan’.
Masukkan jumlah yang diingini, dan proses selesai.
“Jika anda ingin menggunakan mesin ini lagi, cabut earphone dan pasang semula,” katanya.
Bagi sesiapa yang ingin mencuba mesin ATM bersuara ini, anda boleh pergi ke Hong Leong Bank di Brickfields, Kuala Lumpur.
BACA: Sayangnya hanya kejar like dan komen, lelaki ini ajar teknik buat duit guna platform media sosial