KUCHING, 13 Apr – Kerajaan mempergiat usaha membanteras ketirisan bahan api dengan menempatkan anggota polis secara sementara di 151 stesen minyak yang dikenal pasti berisiko tinggi di seluruh negara.
Timbalan Perdana Menteri, Fadillah Yusof berkata, langkah itu bertujuan memperkukuh pemantauan di lokasi kritikal, sekali gus membolehkan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memberi fokus kepada kawasan berisiko lain.
Menurut beliau, antara lokasi yang akan diberi tumpuan termasuk depoh diesel nelayan, stesen minyak tanpa jenama, jeti haram serta kegiatan pemindahan minyak dari kapal ke kapal atau aktiviti bunkering tidak sah.
“Daripada 151 stesen yang dikenal pasti, 87 terletak di kawasan sempadan manakala 64 lagi diklasifikasikan berisiko tinggi susulan lonjakan jualan yang mencurigakan, selain penglibatan kenderaan asing dan penggunaan tangki yang diubah suai,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Penubuhan Pasukan Petugas Khas Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) peringkat negeri Sarawak, hari ini.
Mengulas lanjut, Fadillah memaklumkan bahawa di Sarawak sahaja, sebanyak 22 stesen minyak di kawasan sempadan seperti Limbang, Lubok Antu dan Lundu akan dipantau rapi menerusi operasi bersepadu melibatkan pihak polis dan agensi berkaitan.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata pelaksanaan Ops Tiris 4.0 sejak 16 Mac lalu menunjukkan hasil memberangsangkan apabila sebanyak 13,759 pemeriksaan dilakukan di seluruh negara.
“Daripada jumlah itu, 239 kes berjaya dikesan dengan nilai rampasan keseluruhan mencecah RM11 juta, termasuk RM6.7 juta melibatkan Sarawak sahaja,” katanya.
Tambah beliau, kes berkaitan diesel merekodkan jumlah tertinggi dengan 99 kes bernilai lebih RM3.1 juta, diikuti petrol RON95, gas petroleum cecair (LPG) serta barangan kawalan lain seperti minyak masak, gula dan tepung gandum.
Sehubungan itu, Fadillah menyeru orang ramai agar terus menyokong inisiatif ‘KITA GEMPUR’, iaitu pendekatan kerajaan dalam menggerakkan penyertaan masyarakat bagi membanteras ketirisan barangan kawalan dan bersubsidi, demi memastikan kedaulatan ekonomi negara terus terpelihara.