Pergolakan Menteri Besar Negeri Sembilan hanya isu dalaman PKR negeri

Oleh ADINDA

Merujuk Kenyataan Media yang tular sejak semalam berkaitan ‘Hilang Kepercayaan Terhadap Pengerusi MPN, KeAdilan Negeri Sembilan’ yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan. Pemuda Pakatan Harapan ingin menegaskan bahawa, perkara tersebut tidak sedikitpun akan menggugatkan kestabilan Pemerintahan Pakatan Harapan Negeri Sembilan.

Satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Pemuda Pakatan Harapan Negeri Sembilan semalam menyatakan, Pemuda Pakatan Harapan Negeri Sembilan, menzahirkan sokongan penuh terhadap kepimpinan Dato’ Seri Haji Aminuddin Harun sebagai Menteri Besar sehingga tamat penggal ini.

Mohd Hanis Alimin

Menurut Mohd Hanis Aliman, Ketua Pemuda Pakatan Harapan Negeri Sembilan, sehingga hari ini, pengurusan pentadbiran yang dipamerkan adalah begitu telus dengan akauntibiliti yang cermat dan tidak berlakunya sebarang salahguna kuasa. Ini juga diperakui oleh Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, melalui titahnya dalam sesi pembukaan Sidang Dun pada Jumaat lalu, bahawa kerajaan Negeri Sembilan, pimpinan YAB Dato’ Seri Aminuddin Bin Harun adalah sangat cemerlang dengan berusaha mengutip hasil ke paras yang membanggakan iaitu sebanyak 98%.

“Kerajaan Negeri Sembilan juga telah berusaha dengan gigih dalam mengawal Covid-19 di samping mengeluarkan peruntukan sebanyak 5 juta Ringgit ke seluruh Negeri Sembilan, melalui ADUN dan Penyelaras Dun”.

Mohd Hanis juga menyatakan kejayaan Kerajaan Negeri Sembilan di bawah kepimpinan YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun bersama kakitangan awam khususnya ‘frontliner’ telah berjaya mencapai Imuniti kelompok di mana seramai 669,260 orang iaitu sebanyak 82.18% telah selesai divaksin.

Dalam masa yang sama, Pemuda Pakatan Harapan Negeri Sembilan berpandangan isu pergolakan yang berlaku adalah isu dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri Sembilan sahaja dan ia merupakan perkara biasa dalam mana-mana parti politik.

“Diharapkan agar, krisis ini dapat diselesaikan dengan harmoni dalam suasana kekeluargaan sesegera mungkin agar fokus utama Kerajaan Negeri hari ini untuk mensejahterakan rakyat tidak akan terpesong jauh”, kata Mohd Hanis.

Dalam pada itu, dalam sebuah program bual bicara anjuran NextStep Malaysia malam tadi bersama Datuk Seri Salahuddin Ayub, Timbalan Presiden Parti Amanah Negara turut memaklumkan beliau telah menghubungi Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan dan dimaklumkan tiada sebarang usul undi tidak percaya yang diajukan oleh mana-mana ahli dewan seperti yang digembar-gemburkan.