Pergi sudah tulang belakang keluarga, pengalaman pertama dan terakhir pesara TLDM ini naik pesawat mewah memilukan.
“Arwah abang sangat teruja merasa naik pesawat mewah, banyak gambar dikongsikan dalam kumpulan WhatsApp keluarga kami,” kata Nor Syahirah Omar, adik kepada salah seorang penumpang pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1) yang terhempas berhampiran Elmina, Shah Alam, semalam.
Dalam tragedi itu, pesara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Komander (B) Shaharul Amir Omar, 49, antara penumpang yang maut.
Nor Syahirah, 29, berkata, abang sulung daripada enam beradik itu ada memaklumkan pada keluarga dalam kumpulan WhatsApp bahawa dia turut serta dalam urusan kerja bersama Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang, Datuk Seri Johari Harun pada Rabu lalu.
“Arwah cukup teruja berkongsi swafoto dalam pesawat itu kerana itu pengalaman pertamanya.
“Dalam tempoh perkhidmatannya dalam TLDM, kami memang tahu arwah seorang juruterbang helikopter. Abang beritahu ini peluang pertamanya dapat merasa menaiki pesawat mewah.
“Pagi semalam, emak (Che Ana Abdullah, 67) ada tanya jam berapa dia bertolak dari Langkawi ke Subang dan arwah ada maklumkan penerbangannya jam 2 petang,” katanya ketika ditemui di kediaman Shaharul Amir di Desa Manjung Raya di sini, hari ini.
Nor Syahirah berkata, khabar duka mengenai pesawat terhempas diketahui ibu mereka yang tinggal berseorangan di Felda Lubuk Merbau, Kuala Nerang, Kedah melalui berita di televisyen sebelum memaklumkan kepada ahli keluarga lain.
“Emak beritahu firasatnya mengatakan abang terbabit dalam nahas itu kerana abang tidak dapat dihubungi lagi dengan panggilan telefon lagi petang semalam.
“Kami cuma tahu kemudiannya melalui video tular di media sosial, namun 50-50 kerana belum pasti sama ada betul pesawat itu membawa abang atau bukan.
“Petang semalam juga emak, isteri arwah (Suhaila Akasah, 47), abang dan kakak saya pergi ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang sebaik berita mengesahkan nama pesawat berkenaan.
“Saya dimaklumkan, setiap waris keluarga akan dipanggil satu persatu jam 9 pagi hari ini bagi pengecaman dan taklimat. Saya juga masih menunggu keputusan semua waris sama ada bawa pulang jenazah ke tempat masing-masing atau dikebumikan dalam satu liang lahad,” katanya.
Ditanya keadaan ibunya ketika ini, Nor Syahirah berkata, ibunya meminta video rakaman kemalangan yang tular, namun mereka adik-beradik melarang.
“Kami tak sampai hati hendak lihat sampai habis setiap video di tempat kejadian, apatah lagi risau penerimaan emak jika melihat video terbabit,” katanya.
Adik bongsu dari enam beradik itu berkata, arwah abang sulungnya itu seorang yang bertanggungjawab kerana menjadi tulang belakang keluarga mereka selepas kematian bapa pada 2010.
Katanya, Shaharul Amir mempunyai empat orang anak masing-masing berusia 12, 15, 17 tahun dan 19 tahun yang juga seorang autisme.