Perdana Menteri hilang majoriti, cubaan beli sokongan 114 MP

Oleh ADINDA

Perdana Menteri dikatakan sudah hilang majoriti sebenarnya, oleh sebab itu beliau takut untuk hadir ke Parlimen. Dia dah hilang kredibiliti, dia dah hilang maruah malah secara terbuka melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong, kata Ahli Parlimen Pulai, Salahuddin Ayub.

Menurut Salahuddin, Muhyiddin Yassin tetap akan “tersungkur” dari jawatan Perdana Menteri dalam masa terdekat ini walaupun beliau menggunakan pelbagai helah untuk terus mengelak daripada sebarang pembuktian bahawa Presiden Bersatu itu sudah hilang sokongan majoriti Ahli Parlimen.

“Pada masa terdekat ini dia akan tetap jatuh, dia tidak boleh lari jauh apa yang telah berlaku pada hari ini,” katanya kepada media.

Salahuddin Ayub

Malah, Timbalan Presiden Amanah itu berkata tindakan Muhyiddin yang terus menderhaka kepada Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah mencemarkan negara, merosakkan Parlimen kerana ia tidak pernah berlaku dalam sejarah negara sejak merdeka.

“Saya yakin apa yang dia buat ini telah cemarkan negara, cemarkan Parlimen dan tidak pernah berlaku sejak negara merdeka,” tegasnya sambil mendakwa imej Speaker Azhar Azizan Harun yang dikritik hebat kerana menjadi “pelindung” kerajaan gagal itu sudah tercalar teruk.

“Jadi mereka takkan berani hadapi kita pada Isnin ini,” katanya lagi.

Dalam pada masa, Salahuddin menerusi ciapan di Twitter mendakwa pemimpin Perikatan Nasional (PN) sedang membuat ‘urusniaga’ untuk membolehkan mereka mendapat sokongan 114 ahli Dewan Rakyat.

“Katanya sedang berlaku urusniaga ahli2 Parlimen untuk dapatkan SD 114,” kata beliau menerusi Twitter beliau.

Atas alasan itulah, katanya, Dewan Rakyat ditangguhkan sidangnya Isnin esok.