Pengulas buku dari parti lawan

Oleh ADINDA

Muhaimin Sulam

Penulis kedua selain Dr. Maszlee Malik yang memberi komentar terhadap buku terbaharu saya ‘MENANG DAN TERBUANG. DEMOKRASI, ‘DEEP STATE’, DARURAT’ ialah Syed Putra bin Syed Ahmad. Nama beliau memang tidak terpahat pada khalayak. Dari segi strategi pemasaran, namanya tidak akan menambah nilai buku yang dikomen. Namun komentarnya sangat penting dalam buku saya kerana kedudukannya dirinya dengan saya sangat signifikan dalam memahami pola-pola politik bernegara. Ada sisi berbeza antara kami.

Saya mengenali nama Syed Putra pertama kali sewaktu diberi tanggungjawab menerbitkan buku cenderamata ulangtahun penubuhan Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) pada 1987. PMIUM ini macam cawangan Pas di universiti. Nama Syed Putra tercatat sebagai salah seorang perwakilan Pemuda Pas Pusat dalam satu muktamar Pas. Kami pun mempunyai cita-cita untuk berjuang dengan Pas selepas keluar universiti nanti.

Semasa di PMIUM, beliau menjadi Bendahari persatuan tersebut dan Ahmad Shabery bin Cheek ketika itu adalah Presiden PMIUM pada 1982/83. Beliau senior saya beberapa tahun. Saya tidak sempat bersama dengannya di UM. Universiti yang pernah menjadi kilang melahirkan pemimpin Pas terutamanya sebagai pelapis kepimpinan sediada.

Di zaman saya, PMIUM telah berjaya memisahkan diri dengan pengaruh ABIM selepas sekian lama menjadi sumber tenaga kepada Anwar Ibrahim di dalam Umno. Ketika PMIUM diketuai Ustaz Misbahul Munir Haji Masduki, saya adalah exco persatuan itu dan memegang lujnah penerangan dan publisiti. Di sinilah bakat dan kemahiran menulis saya terbentuk secara tidak langsung. Kemudian PMIUM telah menyingkirkan pengaruh IRC dari persatuan itu dan menjadikan PMIUM seperti sayap Pemuda Pas hingga beberapa dekad selepas itu.

Dalam usia muda Syed Putra, beliau telah menjadi AJK Dewan Pemuda Pas Pusat dan AJK Pas Pahang dan bersemangat bekerja sesuai jiwa muda dan semangat menentang mustakbirin yang menjadi regim negara. Seperti katanya, politik telah ‘memusnahkan’ kehidupannya, beliau tidak mampu melangkah jauh dalam arena politik kerana kekangan ekonomi.

Namun, politik itu tidak mati dalam dirinya dan ia bagai api dalam sekam membakar kembali apabila beliau bertugas di Harakah pada 1999. Sebelum itu, beliau bertugas pelbagai kerja yang boleh menampung kehidupan. Harakah pada masa itu melalui era kegemilangannya membina pengaruh luar biasa dan menjadi nadi kepada pergerakan parti itu. Reformasi telah mengangkat Harakah sebagai raksasa yang boleh melawan gergasi regim pemerintah.

Syed Putra adalah Ketua Bahagian Penerbitan Buku Harakah yang bertanggungjawab menerbitkan buku-buku sebagai doktrin politik Pas kepada umum. Antara tugasan terakhirnya di Harakah ialah projek buku ‘Sejarah Pas. Membina Jiwa Merdeka 1951-1957’. Buku itu ditulis oleh Fadhli Ghani dan disunting oleh Pak Subky. Setelah meninggalkan Harakah, beliau bertugas dengan portal berita Free Malaysia Today (FMT) dan tinggal di Temerloh.

Saya selalu menumpang tidur di pejabatnya di Harakah jika ke Kuala Lumpur. Pagi sarapan di restoran Haslam. Makan roti bakar dan minum teh. Dia biasanya menghisap paip demi menikmati lagi kesedapan bersarapan. Demi perjuangan dan kerjaya, sanggup tinggal di pejabat. Hujung minggu baru balik ke Temerloh. Zaman kami mustadafin. Redha dan pasrah.

Semasa Pas berada di persimpangan, beliau memilih bersama fikrah kerajaan perpaduan dan menolak kelompok progress dalam parti. Saya pula mempunyai fikrah berbeza tentang konsep progress dan liberal dalam konteks bernegara. Perbezaan itu tidak memutuskan hubungan kami dan kekal berbahas dalam lingkungan keterbukaan dan hormat idea masing-masing. Dalam masa yang sama, di dalam parti berlaku sebaliknya. Ruang untuk berbeza sudah berakhir dalam Pas dan masing-masing sudah membina tembok keangkuhan yang sukar ditembus. Tiada lagi biduk berlalu, kiambang bertaut.

Syed Abdullah bin Syed Ahmad, datuknya berkerja sebagai Settlement Officer di Pekan zaman British memerintah Malaya tetapi dipindahkan ke Terengganu kerana penglibatannya dengan kegiatan politik kiri – API. Di Terengganu, beliau menjadi Pengerusi PSRM Terengganu pertama dan lebih dikenali dengan panggilan Habib Lah. Pada pilihanraya umum 1959, beliau bertanding di Dun Ladang dengan pertandingan empat penjuru dan kalah.

Rumah kayunya di Ladang sering menjadi pengkalan kepada Boestamam dan rakan-rakan sosialisnya. Di hadapan rumahnya, diadakan wayang pacak untuk penduduk kampong menonton secara percuma. Biasanya filem-filem Inggeris seperti Tarzan. Di pertengahan tayangan itu, mereka akan mendengar ceramah politik. Itulah kaedah yang digunakan oleh Perikatan melalui Jabatan Penerangannya dari satu kampong ke kampong. Oleh kerana Syed Abdullah mempunyai kemampuan dari segi kewangan, beliau mengambil pendekatan tersebut. Orang kampong pun dapat hiburan dan escape dari realiti kemiskinan hidup.

Mereka mahu menjadikan negeri Terengganu sebagai tapak gerakan sosialis. Tambahan pula majoriti masyarakat Terengganu dihimpit dengan kemiskinan yang tegar. Mereka miskin bukan kerana bangsa pemalas tetapi system ekonomi dan dasar pemimpin elit yang meminggirkan daripada pembangunan ekonomi. Kebanyakan mereka bekerja sebagai nelayan, buruh, penarik beca dan kuli.

Manakala bapanya pernah menjadi Ketua Pemuda Umno Bahagian Pekan semasa Sardon Jubir menjadi Ketua Pemuda Umno Malaya pada tahun-tahun sebelum merdeka. Tetapi kemudian menyertai PRSM semasa zaman Zulkifli Ismail, Sattar Hj Dahan, Kampo Radjo, Syed Husin Ali, Razak Ahmad dan lain-lain. Pada pilihanraya umum 1969 PRSM Pahang yang diwakili Siva menang pilihanraya di Dun Tanah Putih dan Zulkifli Ismail menang di Ulu Kuantan.

Kemudian bapanya memberi fokus dalam persatuan belia (MAYC) dan sastera (Dewan Persuratan Melayu Pahang – GAPENA) sesuai dirinya sebagai guru Bahasa Melayu dan Sastera. Bekas Menteri Besar Pahang, Khalil Yaakub adalah anak murid bapanya. Manakala bekas Menteri Besar Pahang, Rahim Bakar pula adalah rakan baiknya. Hubungan dengan pemimpin Umno ketika itu hanyalah sekadar hubungan sosial sahaja dan beliau lebih dikenali sebagai ‘Abah’ di kalangan orang tempatan.

Syed Putra tertarik dengan Pas apabila mengikuti kuliah pengajian Allahyarham Ustaz Ishak Abdulah di sekitar Temerloh. Syed Putra bergiat dengan Pas Pahang semasa di zaman Rushdi Arif, Tengku Puji, Cikgu Wahab Abd Rahman, Cikgu Yusof Ibrahim dan lain-lain. Bapanya tidak tidak tertarik dengan Pas yang dilihatnya sebagai sebuah parti yang tidak progresif.

Pengalaman politik yang dilalui dari datuknya kemudian kepada bapanya dan diikuti dirinya telah membentuk fikrah politiknya. Dari keluarga yang memiliki pertalian aristokrat dan elit kemudian kelas menengah dan menjadi orang biasa adalah proses yang panjang dalam sistem politik demokrasi. Kritikannya terhadap masyarakat dan pimpinan sering berbaur dengan pengalaman hidup sebagai penyanggah regim.

Latar belakang begitulah, Syed Putra berdiri di sisi saya untuk membuat komentar terhadap nukilan saya tentang politik tanah air kontemporari. Buku ‘MENANG DAN TERBUANG’ akan berada di pasaran dalam masa terdekat ini.

Dapatkan pre-order karya terbaru Dr. Muhaimin Sulam ‘Menang dan Terbuang’ dan karya-karya lainnya dengan klik sahaja di bit.ly/bukumuhaimin

 

 

Dr. Muhaimin Sulam | Seorang penyelidik sejarah dan sastera