Peneroka nafi kena serah tanah, Felda urus kebun sahaja

Oleh ADINDA

Peneroka Felda menjelaskan bahawa tidak timbul isu mereka terpaksa menyerahkan tanah bagi menikmati manfaat penghapusan pinjaman yang ditawarkan kerajaan sempena Hari Peneroka minggu lalu.

Seorang peneroka di Felda Lok Heng Selatan, Kota Tinggi, Johor yang hanya mahu dikenali sebagai Ahadin berkata, ada pihak menyalah tafsir terma perjanjian dengan hanya memaparkan sebahagian intipati dokumen berkenaan.

Jelas ketua Blok 10 di Felda berkenaan, perjanjian tujuh muka surat itu meminta persetujuan peneroka untuk menyerahkan pengurusan kebun di tanah rancangan bermula dari tarikh perjanjian.

“Ia bukan bermaksud tanah kami diambil seperti didakwa tetapi Felda hanya menguruskan kebun sama seperti sebelum ini. Kalau kata kami perlu serah tanah, pengurusan Felda tidak pun meminta geran sebagai cagaran hapus hutang,”

Isu berkenaan serahan pemilikan kebun kepada Felda timbul apabila seorang pengguna Twitter mendakwa peneroka perlu berbuat demikian sebagai balasan penghapusan hutang mereka.

“Muhaidin (Muhyiddin) umum hapus hutang peneroka RM8 bilion. Rupanya jika nak hapus hutang, peneroka kena serah kebun untuk diuruskan Felda,” kata warganet Sham Gaz yang berkongsi separuh muka halaman satu dokumen perjanjian berkenaan.

Ahadin berkata, mengikut perjanjian itu juga segala hutang yang merangkumi antaranya kos tanam semula, pembangunan asal dan pembelian baja juga akan dihapuskan dalam tempoh 13 tahun.

“Mengikut kaedah sebelum ini, selepas tamat 13 tahun kami kena buat hutang baru untuk tanaman semula, tetapi sekarang selepas melangsaikan hutang berkenaan kami bebas daripada pinjaman. Ini melegakan kami sebagai peneroka dan waris sebagai generasi penyambung,” katanya.

Sebelum ini, hutang peneroka FELDA dilaporkan tinggi serta kadar kutipan hutang yang tidak memberangsangkan turut memburukkan lagi keadaan dan menjejaskan kedudukan kewangan FELDA. Sumber RTM 

Berdasarkan penyata baki hutang yang dikongsi Ahadin, jumlah yang perlu dibayar selepas penghapusan 80% pinjaman beliau adalah sebanyak RM49,602 berbanding jumlah asal iaitu RM144,407.

Sementara itu, peneroka di Felda Palong Timur, Segamat, Johor, Ahmad Bongkik berkata, pada mulanya memang timbul kekeliruan dan kegusaran dalam kalangan peneroka berhubung perkara berkenaan, namun ia segera dijawab pihak pengurusan Felda.

“Pada mulanya kami tidak mahu tandatangan (perjanjian) kerana khuatir mengenai status pemilikan tetapi selepas dijelaskan pegawai Felda tentang syarat hapus hutang baru kami faham dan semua setuju,” katanya yang hampir 40 tahun menjadi peneroka dan menambah mereka yang bersetuju akan menikmati potongan bayaran sehingga 80% mulai bulan depan.

Bagi peneroka yang layak dalam skim berkenaan, mereka diberi tempoh selama dua minggu bermula 7 Julai hingga 23 Julai untuk memaklumkan hasrat dan menandatangani perjanjian menyertai Program Penghapusan Pinjaman.

Minggu lalu, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan kerajaan bersetuju melupuskan sebahagian pinjaman peneroka Felda berjumlah RM8.3 bilion secara bersyarat.

Menurut beliau, persetujuan itu mengambil kira isu hutang peneroka yang disifatkan harus diperbetulkan terlebih dahulu untuk memudahcarakan proses penjanaan semula atau “restart” Felda.

Berdasarkan inisiatif berkenaan, purata bayaran balik pinjaman dijangka berkurangan daripada sekitar RM800 hingga RM1,000, kepada hanya RM250 hingga RM300 sebulan bagi peneroka sawit dan serendah RM150 bagi peneroka getah.