Realtime website trackingweb stats

Pencerobohan PATI, serangan siber antara 66 ancaman baharu -MKN

Oleh ADINDA

Isu pencerobohan pendatang asing tanpa izin (Pati) dan pelarian, keselamatan siber serta perpaduan rakyat Malaysia antara 66 cabaran dan ancaman baharu kepada keselamatan negara.

Pemangku Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Rodzi Md Saad berkata, cabaran dan ancaman baharu berkenaan membabitkan ketenteraan, jenayah, ekonomi, sosial, kestabilan politik dan hal ehwal antarabangsa.

Menurutnya, perkara itu bakal ditangani menerusi dasar keselamatan negara baharu yang akan dilancarkan tidak lama lagi.

JIM telah melaksanakan tindakan pengusiran dan panghantaran pulang pendatang tanpa izin ke negara asal bagi membendung kebanjiran golongan berkenaan dalam negara.

“Antara ancaman yang kita sangat membimbangkan ialah bagaimana negara menjadi tumpuan kemasukan Pati, termasuk pelarian seperti Rohingya yang boleh menceroboh masuk sempadan negara.\

“Apabila berlaku kebanjiran warga asing, tentu rakyat akan rasa tak selesa dan selamat di negara sendiri, selain mereka boleh mengambil hak kita sebagai rakyat Malaysia.

“Kita bimbang apabila mereka mula menguasai perniagaan tertentu dan perkara ini sedang diteliti kerajaan secara komprehensif,” katanya pada sidang media secara maya sempena taklimat sambutan ulang tahun ke-50 MKN, hari ini.

MKN akan menyambut ulang tahun jubli emasnya pada 31 Julai ini selepas diwujudkan pada 1971.

Rodzi berkata, antara langkah awal yang dilakukan kerajaan bagi mengatasi pencerobohan sempadan ketika ini adalah melaksanakan Operasi Benteng (Op Benteng) yang dilihat berjaya mengurangkan kemasukan Pati dan penyeludupan dengan signifikan.

“Ancaman lain yang dikenal pasti adalah membabitkan keselamatan siber selaras Revolusi Industri 4.0 (IR4.0), yang memiliki impak kepada tadbir urus kerajaan, ekonomi dan sosial.

“Kita lihat pemikiran rakyat sesebuah negara begitu mudah dibentuk melalui penggunaan teknologi, selain ancaman penipuan dalam talian dan seumpamanya,” katanya.

Beliau berkata, negara juga berdepan cabaran membentuk perpaduan rakyat berteraskan semangat mempertahankan negara, selain ancaman penyebaran berita palsu yang membentuk persepsi salah terhadap isu tertentu.

Mengulas mengenai ulang tahun MKN, Rodzi berkata, Dasar Keselamatan Negara yang baharu akan dilancarkan dan dilaksana dengan fasa pertama mulai 2021 hingga 2025 yang amat komprehensif merentas setiap peringkat pentadbiran dan bersifat inklusif menjangkaui segenap aspek kehidupan rakyat.

“Objektif dasar ini adalah untuk memastikan Malaysia kekal berdaulat, aman dan sejahtera,” katanya.

Rodzi pada sidang media secara maya sempena taklimat sambutan ulang tahun ke-50 MKN, hari ini.
Rodzi pada sidang media secara maya sempena taklimat sambutan ulang tahun ke-50 MKN, hari ini.

Pada sambutan ulang tahun ke 50 MKN juga akan melancarkan konsep Keselamatan Menyeluruh (COMSEC) yang menekankan bahawa keselamatan negara bukan dari aspek ketenteraan atau kepolisan semata-mata, sebaliknya kemakmuran ekonomi, keharmonian sosial dan kestabilan politik.

“Kita akan memperkenalkan juga produk terbaharu iaitu Pusat Strategi Keselamatan Negara (NASTRAC) iaitu pusat pemikiran dan perancangan strategik mengenai dasar keselamatan negara dalam mendepani cabaran pada masa hadapan.

“Kita berharap NASTRAC akan melahirkan pemikir yang hebat mengenai keselamatan negara,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, MKN akan memperkenalkan Indeks Keselamatan Kebangsaan (IKK) yang menjadi penanda aras keberkesanan dasar, strategi dan pelaksanaan pengurusan keselamatan secara menyeluruh, telus dan berintegriti.

“IKK akan menjadi petunjuk yang sangat penting serta rujukan kepada semua pihak,” katanya.