Dalam satu hantaran di laman X, seorang pedagang dalam talian, Ammar Faris, berkongsi formula
untuk menentukan sama ada anda mampu membeli sebuah rumah atau tidak.
Ammar menggunakan contoh gaji bulanan sebanyak RM5,000 dalam formula tersebut.
Mari kita lihat beberapa faktor utama dalam formula ini:
1. Hutang
Senaraikan semua hutang yang menjadi sebahagian daripada komitmen anda.
2. Kira perkadaran jumlah hutang dengan gaji
Katakanlah hutang anda berjumlah RM1,000. Bahagikan RM1,000 dengan RM5,000 dan darab dengan 100 untuk mendapatkan peratus.
Dalam kes ini, perkadarannya adalah 20 peratus, yang boleh dijadikan asas untuk pertimbangan.
3. Pembelian rumah
Ammar memberikan tiga senario iaitu A, B, dan C.
Senario A
Jika anda tidak mempunyai sebarang hutang, anda boleh membeli rumah yang berharga lima kali ganda daripada gaji tahunan anda. Kiraannya ialah RM5,000 (gaji bulanan) darab 12 (bulan) dan kemudian darab dengan lima (gandaan), menghasilkan RM300,000. Ini adalah harga rumah yang sesuai dengan bajet anda. Jika termasuk 10 peratus deposit, ansuran bulanan untuk rumah anda sepatutnya dalam lingkungan RM1,300 hingga RM1,500.
Senario B
Jika perkadaran hutang dengan gaji bulanan anda kurang daripada 20 peratus, anda boleh membeli rumah yang berharga empat kali ganda daripada gaji tahunan anda. Kiraannya ialah RM5,000 (gaji bulanan) darab 12 (bulan) dan kemudian darab dengan empat (gandaan), menghasilkan RM240,000. Ini adalah harga rumah yang sesuai dengan bajet anda. Jika termasuk 10 peratus deposit, ansuran bulanan untuk rumah anda sepatutnya dalam lingkungan RM1,000 hingga RM1,200.
Senario C
Jika perkadaran hutang dengan gaji bulanan anda lebih daripada 20 peratus, anda boleh membeli rumah yang berharga tiga kali ganda daripada gaji tahunan anda. Kiraannya ialah RM5,000 (gaji bulanan) darab 12 (bulan) dan kemudian darab dengan tiga (gandaan), menghasilkan RM180,000. Ini adalah harga rumah yang sesuai dengan bajet anda. Jika termasuk 10 peratus deposit, ansuran bulanan untuk rumah anda sepatutnya dalam lingkungan RM700 hingga RM900.
Peringatan kewangan
“Walaupun ejen berkata berdasarkan kiraan ‘lepas’ untuk membeli rumah, ingatlah bahawa anda yang akan membayar ansuran bulanan selama bertahun-tahun, bukan ejen tersebut.
“Jangan lupa untuk mempertimbangkan komitmen lain seperti perbelanjaan anak, makanan, dan pengangkutan.
Gaji anda mungkin meningkat setiap tahun, tetapi pastikan keputusan dibuat berdasarkan keadaan kewangan semasa,” jelas Ammar.
BACA: Resepi laksam yang lembut dan kuah lemak berkrim bila rasa konfem tambah