Sukan Olimpik adalah temasya yang paling dinantikan oleh atlet untuk membuktikan kebolehan dan kemampuan mereka di mata dunia.
Peserta dari seluruh pelosok benua bersiap sedia untuk mempersembahkan prestasi terbaik mereka dalam kejohanan ini.
Kali ini, ramai yang terkejut apabila seorang wanita berusia tampil dengan penuh keyakinan menyertai Sukan Olimpik Paris 2024 dalam acara ping pong mewakili Republik Chile.
Beliau adalah Zhiying Zeng, yang memulakan perjalanan yang penuh liku dan inspirasi dengan bergelar peserta Olimpik pada usia 58 tahun.
Dilahirkan di Guangzhou, China pada tahun 1966 dalam keluarga yang sangat meminati sukan ping pong, ibu Zeng adalah seorang jurulatih ping pong
yang melatih Zeng sejak kecil hingga dia berusia 9 tahun. Mewarisi kehebatan keluarganya, Zeng cepat menguasai sukan ping pong dan meraih kejayaan dalam beberapa kejohanan di China, sehingga dinobatkan sebagai jaguh belia kebangsaan.
Ketika berusia 16 tahun, Zeng memulakan langkah untuk menjadi sebahagian daripada pasukan kebangsaan China dan kelihatan sebagai calon cerah untuk meneruskan kejayaannya.
Namun, kariernya yang baru mula berkembang terbantut apabila peraturan permainan diubah sebelum Sukan Olimpik Seoul, Korea Selatan pada tahun 1988, menyebabkan strategi Zeng mudah dibaca oleh lawan.
Akibat perubahan peraturan yang drastik, Zeng terpaksa bersara awal pada usia 20 tahun, menghapuskan impian untuk bermain di temasya Olimpik.
“Ramai rakyat China yang mempunyai impian untuk mewakili negara, dan ia bukannya sesuatu yang mudah. Perubahan peraturan ping pong merosakkan rentak permainan saya, jadi saya terpaksa keluar dari pasukan kebangsaan,” kata Zeng dalam satu temu bual.
Pada tahun 1989, Zeng berpindah ke utara Chile selepas menerima undangan untuk melatih kanak-kanak di sana. Ketika pandemik Covid-19 melanda,
Zeng terdetik untuk kembali bermain ping pong secara profesional. Usahanya membuahkan hasil apabila dia berjaya melayakkan diri ke Olimpik Paris 2024, membangkitkan kembali cita-citanya yang telah lama terpadam.
Dalam penampilan sulungnya di Olimpik Paris, Zeng memulakan langkah kanan dengan menewaskan lawan dengan skor 11-4.
Sorakan penyokongnya di seluruh gelanggang seperti mimpi menjadi kenyataan. Namun, nasib tidak menyebelahinya apabila dia disingkirkan oleh wakil Lubnan, Mariana Sahakian, dengan keputusan 4-11, 14-12, 11-5, 11-3, 11-8.
Walaupun mengalami kekalahan, Zeng melihatnya secara positif, berpuas hati dengan prestasinya dan merasakan impiannya untuk bermain di Olimpik telah tercapai.
“Saya berpuas hati dengan permainan saya hari ini. Saya yakin telah memberikan yang terbaik. Terima kasih kepada penyokong dari Amerika Selatan, Eropah, dan China yang memberikan sokongan moral, saya sangat tersentuh.
“Sukan ping pong adalah sebahagian daripada nyawa saya. Saya akan terus bermain dan berusaha untuk kembali ke Olimpik Los Angeles pada tahun 2028,” katanya.
BACA: Baru tahu ini teknik elak mangga susah nak buka dan kunci