Pemuda UMNO ditempelak bekas pegawai Menteri Kesihatan

Oleh ADINDA

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki ditempelak bekas pegawai mantan Menteri Kesihatan selepas mendakwa PH tiada legitimasi untuk menjadi ‘hero’ dan bercakap seolah-olah merekalah yang berhak memperjuangkan isu doktor kontrak, sedangkan merekalah yang memasyhurkan Dasar Pengurangan Penjawat Awam ketika mula memerintah pada 2018.

Ammar Atan yang juga Pengarah Strategi Pemuda Amanah Nasional mengatakan Ketua Pemuda UMNO dilihat bersungguh mempertahankan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Adham Baba yang digelar Menteri Spanish fly dan didakwa meremehkan perjuangan doktor-doktor muda dalam Hartal Doktor Kontrak.

“Sadis sekali, sudahlah malas nak membaca, terus sombong dan membuta tuli menuduh PH pula punca kepada masalah perjawatan ini”.

Menurut Ammar Atan, isu penempatan doktor kontrak ini telah berlaku sejak 2016 lagi dan ketika Pakatan Harapan (PH) mentadbir telah disediakan solusi jangka pendek dan panjang.

“Andaikata BN cukup hebat, kenapa tidak selesai sewaktu mereka berkuasa penuh? Dan mengapa pula tidak sekarang sedangkan MP UMNO merupakan menteri kesihatan ketika ini?” Soal Ammar Atan.

Beberapa tindakan yang telah dilaksanakan ketika Datuk Seri Dr. Dzulkefli Ahmad menjadi Menteri Kesihatan turut disenaraikan dengan solusi jangka pendek dan beberapa perancangan menyeluruh.

Antara tindakan yang telah dilakukan oleh Menteri Kesihatan sebelum ini adalah menaikkan gred pegawai perubatan kontrak ke gred UD43 daripada UD41. Selain itu, sebanyak 10,675 tambahan penjawatan untuk KKM supaya staf kontrak menjadi kakitangan tetap berjaya diperolehi.

“Menubuhkan Health Advisory Council (HAC) agar penyelesaian secara menyeluruh berkenaan sistem kesihatan negara dapat dijalankan, termasuk pengurusan sumber manusia yang merangkumi isu perjawatan dan latihan. Isu yang dikenalpasti bukan sahaja melibatkan doktor kontrak tetapi termasuk pegawai pergigian, farmasi dan paramedik.”

“Mewujudkan kerjasama dengan agensi-agensi pusat termasuklah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Kementerian Kewangan (MOF), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan juga Majlis Perubatan Malaysia (MMC) bagi mencari penyelesian menyeluruh yang adil dan wajar”, tambah Ammar Atan.

Turut dinyatakan konsistensi Dr. Dzulkefli Ahmad dalam memperjuangkan isu doktor kontrak ini daripada ketika menjawat jawatan Menteri Kesihatan hinggalah selepas tidak menjawat jawatan berkenaan berdasarkan beberapa laporan media tempatan.

Sumber Berita Harian

 

Sumber Berita Awani