Pemimpin tertinggi Gereja Katolik hembus nafas terakhir. Pemimpin tertinggi Gereja Katolik, Pope Francis, telah menghembuskan nafas terakhir pada pagi ini, dalam usia 88 tahun. Dunia dikejutkan dengan berita pemergian figura yang dikenali kerana sikap rendah hati dan pendekatan yang progresif dalam kepimpinan Gereja.
Berita duka itu diumumkan secara rasmi oleh Kardinal Kevin Farrell, Camerlengo bagi Dewan Kerasulan, pada jam 9.45 pagi dari kediaman rasmi Pope di Casa Santa Marta, Vatican.
“Dengan rasa dukacita yang mendalam, saya mengesahkan bahawa Pope Francis telah meninggal dunia pada jam 7.35 pagi tadi,” ujar Kardinal Farrell dalam satu kenyataan ringkas.

Derita Berpanjangan Akibat Masalah Paru-Paru
Pope Francis, atau nama sebenarnya Jorge Mario Bergoglio, telah dimasukkan ke Hospital Poliklinik Agostino Gemelli sejak 14 Februari 2025 setelah mengalami masalah pernafasan akibat bronkitis. Keadaannya semakin memburuk apabila beliau disahkan menghidap radang paru-paru dua belah (bilateral pneumonia) hanya beberapa hari selepas itu.
Setelah lebih sebulan menjalani rawatan intensif, beliau dibenarkan pulang ke Casa Santa Marta. Namun, kesihatan beliau terus merosot dan akhirnya membawa kepada pemergiannya.
Penyakit Lama Sejak Usia Muda
Sebenarnya, Pope Francis sudah lama bergelut dengan masalah kesihatan. Pada tahun 1957, ketika berusia awal 20-an, beliau telah menjalani pembedahan membuang sebahagian paru-parunya di Argentina akibat jangkitan teruk. Sejak itu, masalah pernafasan menjadi isu berulang sepanjang hayatnya.
Lawatan rasmi beliau ke Emiriah Arab Bersatu pada November 2023 turut terpaksa dibatalkan gara-gara jangkitan selesema dan radang paru-paru.
Persediaan Terakhir
Pada April 2024, Pope Francis sempat meluluskan edisi baharu buku liturgi Ordo Exsequiarum Romani Pontificis, iaitu panduan rasmi untuk majlis pengebumian Pope. Buku inilah yang bakal digunakan sebagai rujukan dalam misa penghormatan terakhir untuk beliau.
BACA JUGA :
‘Doakan kami kuat’ Anak bongsu Zaquan Adha dan Ayu Raudhah meninggal dunia
Dunia seni kehilangan bintang: Pelakon veteran Roslan Saleh meninggal dunia