Realtime website trackingweb stats

Pelakon utama Madu 3 akhirnya bersuara, rupanya dah 36 tahun, 4 filem ini masih belum dipulangkan

Oleh NUR KASIH

Pelakon utama Madu 3, Datuk Sarimah Ahmad akhirnya bersuara menuntut seorang penerbit terkenal mengembalikan semula pita asal 4 filem hasil karyanya yang diambil sejak 36 tahun lalu.

Hajat Sarimah itu sangat diharapkan menjadi kenyataan sebelum beliau yang sekarang sudah berusia 82 tahun meninggal dunia.

Pita asal empat filem yang disifatkan amat bermakna buat dirinya itu ialah:

Pelakon utama Madu 3 akhirnya bersuara, rupanya dah 36 tahun, 4 filem ini masih belum dipulangkan

1. Detik 12 Malam (1980)
2. Jejak Bertapak (1980)
3. Dia Ibuku (1981)
4. Kabus Tengahari (1982)

Memetik laporan Harian Metro, Sarimah berkata, segala hutangnya kepada penerbit berkenaan mungkin sudah dilunaskan memandangkang sudah melebihi tempoh 30 tahun.

“Saya mohon sangat agar dia (penerbit) dapat pulangkan semula (pita asal) empat filem itu sebelum menutup mata kerana sudah 36 tahun diambil olehnya sejak hari kematian suami saya, Allahyarham Yusof Majid.

“Sekiranya dulu filem-filem itu diambil bagi membayar segala hutang kami kepada dia, tapi sehingga sekarang tempohnya sudah pun lebih 30 tahun dan takkanlah masih belum habis-habis (lunas) lagi,” katanya.

Sarimah berkata, beliau ingin sangat 4 karya filem itu dikembalikan semula ke tangannya ketika masih hidup.

Jelasnya, kesemua filem itu adalah produk karya seni yang diterbitkan produksi miliknya, Sarimah Film Production dan Sasari.

Terdahulu, Sarimah ditemui media pada 15 Februari ketika menerima kunjungan Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim iaitu Ahmad Farhan Fauzi yang hadir ke kediamannya sempena Program Ziarah Madani.

“Saya kesal dengan tindakan penerbit itu apabila sampai ke hari ini dia gagal memulangkan filem-filem saya yang diambilnya itu.

“Kali terakhir kami bertemu 36 tahun lalu dan hingga kini terus berdiam diri tanpa sebarang khabar berita.

Pelakon utama Madu 3 akhirnya bersuara, rupanya dah 36 tahun, 4 filem ini masih belum dipulangkan

“Dia pernah berjanji (pulangkan semula) tapi mengapa tidak ditepati.

“Ambil kesemua pita asal filem itu yang mungkin masih ada di dalam simpanannya dan terus diamkan diri. Itu hak saya, hasil titik peluh saya dan tolong pulangkan balik.

“Saya hanya minta agar dipulangkan saja pita asal filem itu kerana hak saya. Semua dosa dan kesalahan anda, saya sudah maafkan dunia akhirat.

“Cuma, kembalikan hasil titik peluh saya,” katanya lagi.

Pelakon Ali Baba Bujang Lapok itu berkata, penerbit berkenaan bersama seorang rakannya seperti mengambil kesempatan apabila datang dan meminta beliau menandatangani satu dokumen pada hari suaminya meninggal dunia.

“Ketika itu, fikiran saya dalam keadaan sangat bercelaru kerana arwah suami baru meninggal dunia dan jenazahnya menunggu masa untuk disolat dan dikafankan.

“Jadi, masa itu saya memang tak dapat nak fikir dengan jelas.

“Saya tahu ada perkara lain yang pihaknya (penerbit itu) tidak jelaskan kepada saya.

“Tapi, apa pun keadaannya, dia perlu menepati janji untuk memulangkan kesemua pita filem yang sudah lama diambil itu kepada saya semula.

“Saya bukan mengejar bayaran, cuma macam dikatakan filem-filem itu adalah hasil titik peluh saya, wang saya sebagai penggiat seni.

“Disebabkan filem itu jugalah, saya pernah menanggung hutang dan jatuh muflis sebelum ini kerana menjadi penjamin bagi mendapatkan pinjaman bank untuk menghasilkannya,” katanya.

Sarimah berkata, beliau berharap dengan pendedahan dan luahan dibuatnya selepas menyimpan lama rahsia itu dapat dibantu Kementerian Komunikasi menerusi menterinya, Fahmi Fadzil bagi mendapatkan haknya semula.

Allahyarham Yusof adalah suami kedua Sarimah dan meninggal dunia pada 1988. Dua daripada enam anak Sarimah adalah hasil perkongsian hidupnya bersamanya iaitu Yusarima, 53, dan Yusari Amir.

Baca:

‘Harap beri kepada Palestin tapi beli emas 131 kg’ – Lelaki ini rupanya dah lama persoal kekayaan Abdullah Zaik

Penganalisis dedah Toyota dan Perodua bakal keluarkan dua model SUV baharu

PDRM minta penunggang dan pemandu tampil buat laporan langgar cermin sisi kereta