Realtime website trackingweb stats

Pekerja kilang maut, 6 cedera van terbalik

Oleh NOR SITI HAZLINDA

Seorang pekerja kilang maut manakala enam lagi rakannya termasuk pemandu van cedera selepas kenderaan dinaiki mereka terbabas sebelum terbalik dalam kemalangan di Jalan Batu 7, Labu, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.55 pagi itu, mangsa yang maut ditempat kejadian merupakan seorang wanita dikenali sebagai S Selvarani, 54, menetap di Taman Bukit Kayam di sini.

Komander Operasi, yang juga Ketua Balai Bomba Seremban 2, Mohd Asree Abd Hamid berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu jam 7.01 pagi dan tiba lima minit kemudian di lokasi kejadian.

“Kemalangan membabit sebuah van membawa pekerja yang terbabas ke dalam parit dan terdapat tujuh penumpang di dalamnya iaitu lima wanita dan dua lelaki.”

“Mereka dikatakan dalam perjalanan ke tempat kerja di sebuah kilang di Nilai. Bomba mengambil masa selama 10 minit untuk mengeluarkan seorang mangsa yang tersepit bagaimanapun dia disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.”

“Mangsa yang lain cedera dan dibawa ke Hospital Tuanku Ja`afar (HTJ) untuk menerima rawatan,” katanya, hari ini.

Menurut Mohd Asree, van berkenaan dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke kiri dan termasuk ke dalam parit menyebabkan van itu terbalik.

Kami menjemput dan mengalu-alukan untuk kongsikan pandangan dan artikel penulisan anda ke NextStep Malaysia:
Email NextStepMalaysia: [email protected]