Masalah ‘memori penuh’ sering kali mengganggu pengguna telefon pintar.
Walaupun kita berhati-hati dalam memuat turun pelbagai aplikasi, storan telefon pintar tetap cepat terisi.
Melalui satu hantaran oleh Zalea di laman X, beberapa aplikasi yang sering digunakan orang ramai ternyata memakan storan yang sangat besar.
“Selalu pelik kenapa storan telefon cepat penuh, padahal tak banyak pun yang dimuat turun.
Rupanya disebabkan aplikasi ini,” ujar Zalea.
1) CapCut
Aplikasi penyuntingan video ini dikatakan menyimpan rakaman anda sebanyak dua kali dalam telefon pintar.
“Video yang sudah selesai diedit akan disimpan, sementara satu lagi video disimpan sebagai draf. Saya perasan dulu, CapCut boleh menyimpan video sehingga hampir 100 gigabait (GB),” jelas Zalea.
2) Telegram
Tahukah anda bahawa aplikasi Telegram, jika tidak diubah tetapan, akan memuat turun secara automatik gambar atau video yang telah ditonton ke dalam telefon pintar?
“Anda boleh menutup tetapan Telegram ini melalui ruangan muat turun media automatik.
“Bagi pengguna Android, jika anda ingin mencari semula video atau gambar yang sudah dimuat turun secara tidak sengaja, pergi ke pengurus fail dan cari aplikasi Telegram,” terang Zalea.
3) WhatsApp
Isu yang sama berlaku dengan WhatsApp, tetapi ia lebih merisaukan kerana memuat turun lebih banyak fail ke dalam peranti.
“Semua rakaman yang kita buat sendiri atau terima daripada orang lain, seperti rakaman audio dan video, akan disimpan dalam telefon pintar oleh WhatsApp.
“Jika dibiarkan, ia boleh mencapai beribu-ribu fail dalam telefon kita. Untuk mencari semua fail tersebut, pergi ke pengurus fail dan cari folder WhatsApp,” kata Zalea.
4) Gallery
Menurut Zalea, gambar jenis live photo yang bergerak selama satu saat juga memerlukan ruang storan yang banyak.
“Selepas bercuti, jika ada banyak gambar dengan pose yang sama, eloklah padamkan gambar yang kurang menarik dan simpan hanya satu yang terbaik,” ujar Zalea.
BACa: Lagi kaya dari orang kaya dalam Malaysia, ini 3 rahsia Tun Daim ramai tak tahu