Realtime website trackingweb stats

Pasangan kanser paru-paru tahap 4, lelaki nekad percepatkan tarikh nikah

Oleh HADI KAMARUDIN

Cinta sejati memang wujud, walaupun mungkin jarang dipaparkan kerana banyak kisah keruntuhan rumah tangga di media sosial.

Namun, kisah Lokman Sumadi, 35 tahun, amat menyentuh hati. Walaupun menyedari bakal isterinya, Nor Azurah Othman,

menghidap barah paru-paru tahap 4 dan sedang mendapatkan rawatan, Lokman tetap memilih untuk mempercepatkan

tarikh pernikahan mereka demi menghalalkan hubungan dan menjaga isterinya hingga ke akhir hayat.

Pasangan Menghidap Barah Paru-paru Tahap 4

Pasangan kanser paru-paru tahap 4, lelaki nekad percepatkan tarikh nikah

Menurut laporan Harian Metro, Lokman berkata dia tidak mencari pasangan yang sihat dan sempurna kerana manusia tidak selamanya sihat. Dia hanya mahu isterinya sentiasa ada bersamanya walaupun dalam keadaan begini.

“Tak perlu cari pasangan yang sihat dan sempurna kerana manusia bukan selamanya sihat. Cukup kalau isteri sentiasa ada dengan saya walaupun keadaannya begini,” ujar Lokman Sumadi.

Kisah Lokman dan Nor Azurah, 39, tular di media sosial selepas mereka disatukan semasa Nor Azurah sedang berjuang melawan barah paru-paru tahap empat. Ia bermula apabila kembar Nor Azurah, Nora Delysya, 39, memuat naik video pernikahan kakak dan abang iparnya yang diijabkabulkan secara dalam talian.

Lokman menceritakan bahawa majlis akad nikah secara maya diadakan pada 18 Ogos lalu, di mana dia berada di rumah keluarga isterinya di Kampung Sungai Kelambu, manakala Nor Azurah berada di wad Hospital Kuala Lumpur (HKL).

“Menurut perancangan asal, majlis akad nikah adalah pada 7 September depan, tetapi memandangkan isteri sudah dimasukkan ke HKL, saya membuat keputusan untuk mempercepatkan tarikh pernikahan.

“Keputusan ini dibuat selepas berbincang dengan keluarga kedua-dua belah pihak. Niat saya adalah untuk menghalalkan isteri supaya lebih mudah untuk menjaganya.

“Isteri bertanya sama ada saya betul-betul mahu meneruskan pernikahan kerana pada awalnya dia tidak mahu meneruskannya, menganggap dirinya tidak mampu memberikan kebahagiaan dalam keadaan begini.

“Tetapi saya tetap nekad untuk meneruskan perkahwinan kerana bagi saya, dia adalah wanita sempurna dan saya ingin menjaga dia hingga akhir hayat saya,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Lokman mengakui dia merasa sebak selepas sah bergelar suami kerana diberi peluang oleh Allah SWT untuk bertemu jodoh dengan wanita pilihan, walaupun dalam majlis akad nikah yang berbeza daripada pasangan lain.

“Perasaan saya bercampur baur pada hari akad nikah, tak mampu berkata-kata dan hanya mampu mengalirkan air mata kerana isteri tidak ada bersama.

“Namun sebaik selesai akad nikah, saya terus ke hospital (HKL) bersama kembar isteri dan keluarga untuk menyarungkan cincin.

“Syukur semuanya dipermudahkan dan yang paling penting, mendapat restu kedua belah keluarga,” katanya, yang mempunyai dua anak dari perkahwinan terdahulu.

Mengimbas Detik Perkenalan

Lokman berkata dia dan isterinya sudah lama mengenali satu sama lain sejak zaman sekolah kerana tinggal di kawasan berdekatan. Mereka mula berkawan rapat dan bertukar nombor telefon pada November tahun lalu.

“Memang kami kenal kerana isteri tinggal di kampung sebelah, tetapi hanya sekadar kenal. Kami berkawan lebih rapat selepas itu.

“Pada awalnya, saya tidak tahu isteri sakit kerana dia hanya disahkan menghidap barah pada 18 Januari lalu, iaitu dua bulan selepas kami berkawan.

“Disebabkan perasaan sayang yang sudah ada, saya terus setia dengannya walaupun keadaannya semakin teruk. Saya percaya pesakit barah memerlukan semangat,

jadi saya akan memberikan sokongan dan kasih sayang untuknya terus kuat walaupun doktor telah memberitahu jangka hayatnya hanya tiga bulan,” jelasnya.

Lokman juga tidak menyangka hantaran video oleh adik iparnya mendapat perhatian ramai.

“Saya lihat ruangan komen ramai yang mendoakan kami, syukur Alhamdulillah. Terharu rasanya.

“Bagi yang menonton video itu, saya mohon doakan kebahagiaan rumah tangga kami dan doakan isteri saya diberi kesihatan yang baik serta kekuatan melawan penyakitnya,” katanya.

BACA:Terpaksa tebuk tiga lubang diperut, rupanya Dato Awie menghidap penyakit ini