Realtime website trackingweb stats

Pas didesak segera bentang Roadmap RUU355 kepada orang ramai

Oleh ADINDA

Pas Perlu Bentang Roadmap RUU355 Kepada Rakyat Segera

Rakyat kini masih menunggu perlaksanaan Kanun Jenayah Syariah (II) (1993) 2015 (Hudud Kelantan) sebagaimana yang telah diluluskan oleh DUN Kelantan pada 18/3/2015. Begitu juga Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud Dan Qisas) Terengganu 2002.

Justeru adalah sangat wajar bagi Pas membentangkan roadmap bagi pindaan RUU355 bagi tatapan dan pengetahuan rakyat Malaysia. Roadmap itu perlulah memperincikan garis-masa apakah yang akan dilakukan oleh Pas dari bulan ke bulan demi menggerakkan pindaan RUU355 tersebut.

Kerajaan Pas Negeri Kelantan dan Terengganu kini mempunyai wakil yang berkuasa di peringkat pusat, iaitu YB Senator Ustaz Idris Ahmad selaku Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) dan Marzuk Sha’ari selaku Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama).

Idris Ahmad dan Ahmad Marzuk di hari pertama melapor diri sebagai Menteri dan Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama

Bagi maksud perlaksanaan enakmen hudud ini, Kerajaan Malaysia perlu membuat di Parlimen Malaysia satu pindaan kepada kepada Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) untuk menaikkan bidang kuasa Mahkamah Syariah daripada hanya boleh jatuhkan hukuman maksimum 3 tahun penjara RM5,000 denda dan 6 kali sebatan kepada suatu tahap yang membolehkan hukum hudud boleh dilaksanakan.

Kuasa untuk menyusun Aturan Urusan Dewan adalah tertakluk kepada Tuan Yang diPertua Dewan, akan tetapi kerajaan mempunyai kuasa untuk memastikan bahawa usul bagi meminda Akta 355 boleh dibawa dan menjadi keutamaan dalam senarai Aturan Urusan Mesyuarat (AUM) Dewan Rakyat.

Bagi saya yang terlibat dari awal penggubalan Kanun Jenayah Syariah (II) (1993) 2015 (Hudud Kelantan) dan kemudiannya terlibat berunding dengan Kerajaan Pusat di zaman BN dahulu, perkembangan sekarang adalah amat kondusif bagi perlaksanaan hudud di Malaysia dalam masa terdekat ini. Sekaranglah masanya.

Malah bagi negeri-negeri yang belum ada enakmen Hudud di semenanjung, Sabah dan Sarawak, inilah masanya untuk Dewan Undangan Negeri tersebut segera menggubal enakmen berkenaan. Pas Sabah dan Pas sarawak boleh bantu menderafkan Enakmen Hudud bagi kedua-dua negeri berkenaan.

PAS mempunyai seorang Adun lantikan di dalam Dewan Undangan Negeri Sabah

Menteri bertanggungjawab juga bolehlah membawa usul pindaan kepada Jadual 9 Perlembagaan Malaysia agar tiada lagi sebarang pertikaian mengenai keabsahan Kanun Jenayah Syariah (II) (1993) 2015 dan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud Dan Qisas) Terengganu 2002 ini. Ini untuk menyelesaikan dakwaan bahawa enakmen tersebut adalah melanggar Jadual 9 Perlembagaan Persekutuan, seterusnya memberi jalan seluas-luasnya ke arah pelaksanaan enakmen hudud tersebut.

Adapun mengenai jumlah sokongan ahli parlimen untuk perlaksanaan hudud ini, dengan sistem whip yang diamalkan di Malaysia, sokongan keseluruhan Ahli Parlimen dari blok kerajaan akan dapat digemblengkan. Tidak logiklah ada ahli parlimen dari blok kerajaan tak boleh bersetuju dengan usul daripada Menteri kerajaan sendiri.

Semua ini perlu diperincikan kaedah, tatacara dan susunan tindakannya di dalam satu roadmap yang jelas dan dibentangkan kepada rakyat. Agar nanti tiada orang berkata, Pas ni cakap saja.

(Gambar asal Roadmap RU355 yang dibentang di dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tenikal Undang-Undang Jenayah Syariah Peringkat Persekutuan Bil.2/2014 yang telah dilanggar Pas sebelum ini)

 

 

 

Hisham Fauzi | Seorang Peguambela dan Peguamcara serta bekas ahli jawatankuasa pengubalan Kanun Jenayah Hudud Kelantan