Baru-baru ini, kita semua dikejutkan dengan berita seorang lelaki telah menyerah diri di balai polis pada 20 Jun lalu
selepas membunuh isterinya di bilik sebuah hotel di Jalan Pejabat Pos, Batu Gajah.
Mayat Nisya Syahkila Shaharun ditemui di hotel tersebut dengan kesan tikaman. Hasil siasatan awal menunjukkan bahawa
lelaki itu membunuh isterinya kerana tidak puas hati dengan keinginannya untuk meneruskan tuntutan fasakh.
Semalam, tertuduh, Hairil Anaas Abdullah, telah didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas tuduhan membunuh dengan menyebabkan kematian.
Kes pembunuhan suami terhadap isteri bukanlah perkara yang jarang berlaku. Kes-kes serupa berlaku di pelbagai negara, termasuk kes yang melibatkan Brian Walshe dari Massachusetts tahun lalu, yang dituduh membunuh dan mengerat isterinya yang hilang.
Selain itu, lelaki ini turut melakukan carian Google yang mencurigakan seperti “cara untuk melupuskan mayat” dan “bolehkah seseorang didakwa dengan pembunuhan tanpa mayat.”
Menurut statistik dari Biro Keadilan Amerika Syarikat tahun 2021, 34% wanita dibunuh oleh pasangan intim mereka, manakala hanya 6% lelaki dibunuh oleh isteri mereka pada tahun yang sama.
Apakah sebenarnya motif di sebalik tindakan beberapa suami yang sanggup membunuh isteri mereka?
Pembunuhan dalam rumah tangga boleh berlaku secara dirancang atau spontan. Bekas ejen FBI, Brad Garret, menjelaskan bahawa pembunuhan secara spontan biasanya melibatkan sejarah penderaan terhadap pasangan atau masalah alkohol dan dadah yang menyebabkan kecemburuan yang memuncak.
Sementara itu, motif pembunuhan yang dirancang sering kali disebabkan oleh cemburu atau tamak, terutamanya jika pasangan lebih berjaya.
Kawalan dan kuasa merupakan faktor asas dalam keganasan rumah tangga, termasuk penderaan emosi dan seksual. Menurut Kiersten Stewart dari NGO Futures Without Violence, tanda-tanda awal keganasan termasuk pengawalan tingkah laku dan kehidupan sehari-hari pasangan.
Personaliti pelaku pembunuhan rumah tangga sering kali berkait rapat dengan narsisme dan antisosial. Sebagai contoh, dalam kes Brian Walshe, perbuatannya melebihi sekadar membunuh, ia merupakan tindakan yang kejam.
Menurut kajian dari Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit, wanita lebih berisiko menjadi mangsa keganasan daripada pasangan mereka. Statistik FBI menunjukkan bahawa sebanyak 82.6% wanita yang dibunuh oleh mereka yang dikenali.
Motif pembunuhan dalam rumah tangga boleh melibatkan kemarahan, ketakutan ditinggalkan, cemburu, atau kecenderungan untuk membunuh diri. Ini mencerminkan masalah yang mendalam dalam hubungan dan personaliti pelaku.
Sekiranya anda atau sesiapa yang anda kenal mengalami keganasan rumah tangga, sila dapatkan bantuan dari pihak berkuasa atau organisasi yang menyediakan bantuan dan sokongan.
BACA: Langgar 4 pantang larang ini bakal buat telefon bimbit anda ‘hang’