Pasangan selebriti, Aeril Zafrel dan Wawa Zainal yang terkenal dengan imej berjaya dan kaya-raya turut diasak soalan mengenai isu poligami dalam kalangan selebriti dan pempengaruh yang hangat diperkatakan netizen ketika ini.
Bahagia melayari bahtera rumah tangga dengan Wawa, Aeril bagaimanapun memberi jaminan tidak akan sesekali menghancurkan kepercayaan Wawa terhadap dirinya.
“Saya sudah berjanji pada diri yang saya tidak akan buat perangai sebab apa yang saya ada sekarang sudah cukup.
“Saya dikurniakan empat cahaya mata dan seorang isteri serta perniagaan yang baru bermula.
“Kalau saya buat hal, saya bimbang apa yang saya usahakan selama ini jadi sia-sia dan musnah sekelip mata. Lagipun bukan senang nak kecapi semua ini.
“Bagi saya kehadiran orang ketiga ini bukan membahagiakan, tapi lebih memeningkan kepala,” katanya yang sudah membintangi lebih 12 filem.
Dalam masa sama, Wawa, 31, turut memberitahu, tiada wanita yang akan memberi ‘lampu hijau’ dengan mudah apabila suami ingin berkahwin dua.
“Mana ada wanita yang bersetuju, tidak ada. Bagi saya, kalau lelaki itu tidak memberi ruang atau peluang perkara itu (poligami) tidak akan berlaku.
“Jadi, jangan beri peluang kepada suami mencari lain seperti selalu periksa telefonnya dan tanya dia mahu ke mana.
“Biar dia nak cakap kita ‘queen control’ sekali pun, tidak mengapa. Bagi saya, dua-dua perlu main peranan,” kata Wawa yang berasal dari Lahad Datu, Sabah itu.
Aeril, 35, atau nama sebenarnya Suhairil Sunari berkata, dia dan Wawa tidak pernah berbincang mengenai perkara itu kerana yakin ia tidak akan berlaku.
“Kami tak pernah bincang sebab saya yakin perkara ini tidak berlaku. Saya selalu cakap kepada diri, hanya maut yang memisahkan kami.
“Saya bukan nak cakap besar, tapi dalam hal ini pilihan atas diri sendiri. Kalau saya cakap begini, tiba-tiba Tuhan nak uji saya pun tak tahu. Cuma untuk kami banyak hal lain yang kami boleh fikir dan bincang.
“Alhamdulillah saya gembira dengan kehidupan yang saya nikmati sekarang. Kalau saya buat hal, saya tiada masa nak fikir mengenai ini semua (kerja).
“Saya akan fikir mengenai isteri baru,” kata Aeril secara berseloroh.