Realtime website trackingweb stats

Netanyahu ke PPB bawa “misi membunuh” Hassan Nasrallah- IAIS

Oleh ABDULLAH HAMID

Israel melancarkan serangan udara di selatan Beirut, dengan sasaran utama pemimpin Hezbollah, Hassan Nasrallah tanpa pedulikan gesaan umum agar negara haram zionis itu menghentikan pembunuhan.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kajian Tinggi Islam Antarabangsa Malaysia (IAIS) Dr Syed Azman Syed Ahmad dalam satu kenyataan berkata, Israel tidak akan pernah berhenti membunuh sehingga misinya menamatkan riwayat pemimpin tertinggi Hezbollah itu tercapai.

“Hakikatnya adalah Israel tidak akan berhenti setakat membunuh Hassan Nasrallah.

“Hanya dengan membunuhnya, dalam anggapan Israel, Hezbollah akan menggerakkan tenteranya melawan Israel,” katanya dalam satu kenyataan.

Ironinya, serangan kali ini berlaku semasa Benjamin Netanyahu berucap di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), di mana beliau menegaskan ancaman yang ditimbulkan oleh Iran dan sekutunya.

Netanyahu ke PPB bawa "misi membunuh" Hassan Nasrallah- IAIS

Serangan tersebut mengakibatkan dua orang terbunuh dan 76 cedera, menurut Kementerian Kesihatan Lubnan.

Mengulas lanjut Syed Azman berkata, misi Netanyahu ke PBB bukan sekadar berucap, malah sebenarnya datang untuk membunuh.

“Itu perkara yang jelas- berbeza dengan kesempatan lain, kali ini beliau datang untuk membunuh dan terus membunuh.

Hassan Nasrallah dianggap sebagai “kargo bernilai tinggi”. Hanya selepas membunuh Hassan Nasrallah, Israel boleh mempunyai peluang untuk mengaturkan pasukannya dan sekutunya melawan Iran,” kata beliau lagi.

Duta PBB Israel, Danny Danon, menyatakan bahawa serangan ini bertujuan untuk membanteras “aktor jahat,” tetapi enggan mengesahkan jika Nasrallah adalah sasaran utama.

Bagaimanapun sumber Hezbollah mengesahkan bahawa pemimpin mereka selamat.

Meskipun terdapat Resolusi 1701 Majlis Keselamatan PBB yang menyeru gencatan senjata, Israel terus melakukan serangan, dengan Netanyahu dan kabinetnya berpendapat bahawa tindakan tegas diperlukan untuk mengelakkan ancaman dari Hezbollah.

Jet pejuang rejim itu telah menyerang “sasaran Hezbollah” di Lubnan, termasuk pelancar senjata dan tapak penyimpanan senjata.

Perdana Menteri sementara Lubnan Najib Mikati berkata serangan Israel ke atas kawasan selatan Beirut pada hari Jumaat menunjukkan Israel tidak peduli tentang usaha untuk mencapai gencatan senjata.

Mikati menggesa masyarakat antarabangsa untuk menghentikan Israel daripada melancarkan perang pembunuhan beramai-ramai terhadap Lubnan.

Menurut Syed Azman, inilah senario yang telah dirancang oleh Israel sejak tahun 2000 dan sekali lagi pada tahun 2006.

“Iaitu untuk menyeret AS, penyokong paling mudah dipengaruhinya, ke dalam perang udara dan darat melawan Iran.

“Semua ini dengan tujuan untuk menamatkan program kuasa nuklear di Iran yang Zionis enggan percaya bahawa ia boleh menjadi apa-apa selain nuklear yang bertujuan awam,” jelasnya