Realtime website trackingweb stats

Nasihat buat kaum hawa yang sanggup bernikah di sempadan Siam

Oleh ADINDA

Nasihat buat kaum Hawa.

Jika anda berkasihan dengan lelaki yang anda cintai, tolonglah jangan izinkan dia menghina anda dengan bersetuju untuk bernikah dengannya di Thailand.

Anda sudah boleh kenal dia lelaki jenis apa jika dia tergamak mengajak anda menikah rentas sempadan. Tapi kalau anda sendiri yang ajak sebab tak tahan sangat, pertimbangkanlah perkara-perkara berikut.

Pejabat Agama Islam Songkhla antara lokasi yang popular pasangan dari Malaysia bernikah kerana berhampiran dengan pintu sempadan Bukit Kayu Hitam, Kedah

Kalau soal untuk menghalalkan hubungan kalian pun dia sanggup untuk menyusup lari, apa jaminan yang dia akan menjaga anda, melindungi anda malah menghormati anda sepanjang perkahwinan nanti?

Adakah anda yakin dia akan bertanggungjawab membayar nafkah anda dan anak-anak?

Kalau apa-apa terjadi terhadap perkahwinan ini nanti adakah anda yakin dia akan bertanggungjawab?

Anda yakin dia akan daftar perkahwinan kalian selepas balik ke Malaysia?

Anda yakin dia akan back up anda jika ditakdirkan anda terpaksa berdepan dengan keluarga dia atau isteri(-isteri) dia?

Thread di Twitter yang berkongsi kesan perkahwinan di Thailand yang tidak didaftarkan

Percayalah keyakinan itu tidak lebih sekadar janji setaraf “Abang janji abang delete lepas ni”.
Jangan berfikir terlalu singkat.
Berapa ramai wanita yang menderita kerana perbuatan kahwin lari ini.

Kalau wanita itu sudah berkerjaya dan mempunyai pendapatan sendiri, ya mungkin tak ada masalah. Berani buat berani tanggung. Tapi dalam banyak kes wanita yang ikut lari ini ialah mereka yang rapuh, naif dan mudah termakan pujuk rayu. Bila tertipu, akhirnya tiada tempat untuk mendapatkan bantuan. Lebih teruk, pada ketika itu anda sudah beranak-pinak.

Memang benar menikah di mana tidak menentukan masa depan perkahwinan anda. Ramai pasangan yang menikah dengan teratur tapi berpisah juga.

Tujuan nak bagi nikah teratur ni tiada lain melainkan untuk kebaikan isteri. Pernikahan yang sah melayakkan anda sebagai isteri menerima nafkah dan jika sah nikah, anaknya sah taraf dan layak menuntut nafkah juga. Kalau bercerai pun, layak menerima nafkah iddah, mut’ah dan harta sepencarian.

Keratan Berita Harian : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menganggarkan kira-kira 70 peratus pernikahan menggunakan khidmat sindiket atau nikah ekspres tidak sah syariah, paling banyak kesalahan berkaitan wali.

Dalam keadaan nikah yang teratur pun berapa ramai suami yang culas, apatah lagi nikah downgrade sebegini. Hak-hak anda sebagai isteri akan hanyut begitu saja dalam parit.

Jika nikah tak sah, si suami tak rugi apa-apa. Sebab itu dia malas nak daftar nikah di Malaysia. Macam-macam alasan boleh bagi. Seronoklah dia tak bayar nafkah. Dalil pun ada. Tapi bab sedap dia yang dapat.

Dalam suasana Malaysia dikenakan lockdown seorang Timbalan Menteri dari PAS dilaporkan bernikah lagi satu di Thailand secara online

Lelaki sebegini, takkan berjaya menjerat jika tidak ada wanita yang sudi dipikat. Fikirlah panjang-panjang.
Lihatlah bagaimana hukum syarak memartabatkan wanita di tahap yang cukup mulia, tapi kedudukan yang mulia turut memerlukan gandingan kecerdasan minda untuk memikirkan baik buruk satu-satu keputusan dalam perkahwinan.

Jangan pertaruhkan masa depan anda demi sebuah ikatan yang kabur dan samar.

Sumber : Facebook Mohamed Hadi AH

Dr. Mohamed Hadi AH merupakan seorang bekas pengamal undang-undang Syarie dan bekas pensyarah undang-undang di sebuah universiti Islam. Kini bertugas sebagai ketua di bahagian pengurusan syariah sebuah syarikat takaful terkemuka.