Isu kestabilan politik tidak akan terjejas sekiranya sidang Parlimen ditangguhkan ketika negara masih berdepan dengan situasi pandemik.
Pengerusi Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin berkata, dakwaan sesetengah pihak kononnya nasib rakyat terletak pada ahli politik adalah tidak benar sama sekali.
“Saya tidak percaya bila Parlimen tidak bersidang ia menimbulkan situasi yang tidak stabil pada Parlimen.”
“Kadang-kadang ia terlalu digembar gemburkan seolah-olah Parlimen itu tidak berfungsi sekiranya ia tidak bersidang.”
“Mereka (ahli politik) merasakan diri mereka penting dan masa depan rakyat bergantung pada mereka dan masa depan rakyat bukan semata-mata bergantung pada ahli politik,” katanya ketika ditemu bual menerusi program Agenda AWANI pada Selasa.”
Tegasnya lagi, apa yang menjadi keutamaan ketika ini adalah usaha negara untuk keluar daripada kepompong pandemik sebelum isu politik dibangkitkan.Apa yang pasti, di penghujungnya soal untuk mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) akan jelas menjadi permainan dalam kalangan ahli politik.
“Kita dah lihat apa yang berlaku di Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah (PRN), jadi PRU ini kita perlu elakkan daripada berlaku walaupun mereka (ahli politik) bercakap mengenai Parlimen.”
“Akhirnya soal pilihan raya akan dibangkitkan, persoalannya adakah boleh ia dilakukan dalam keadaan COVID-19?,” katanya lagi.
Dr Shamsul dalam masa sama berpendirian, soal pandemik dan isu darurat akan menjadi perkara yang akan dibahaskan berbanding isu politik menjelang perbincangan khas Majlis Raja-Raja Melayu yang dijadualkan berlangsung di Istana Negara pada Rabu.
Sumber: Berita Awani
Kami menjemput dan mengalu-alukan untuk kongsikan pandangan dan artikel penulisan anda ke NextStep Malaysia:
[email protected]