Musim PKP, pedulikah YB?

Oleh ADINDA

Atriza Umar

Melihat kepada isu yang masih belum dapat ditangani atau boleh jadi tidak dipedulikan oleh Menteri yang berkaitan, tentunya impaknya kembali kepada rakyat.

Dengan PKP 3.0 yang diteruskan lagi sehingga 28 Jun sebagaimana yang disampaikan oleh Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, selepas mengambil kira jumlah kes harian masih melebihi 5,000 sehari pada 11 Jun lalu.

Sewajarnya segala ini sudah dapat ditangani memandangkan situasi yang dikuatkuasakan ini bukan lagi baru. Adakah situasi itu akan jadi berterusan seperti itu saja, jika ia terjadi lagi? Hinggakan rakyatlah yang perlu mengadap kesan yang berlaku itu.

Antaranya kebajikan rakyat, PdPR, Internet, kelaparan, pengangguran, kemiskinan, sakit mental serta permasalahan lain yang jika disebut satu persatu, tidak terkira dan sangatlah banyak.

Pelbagai usaha dan pelan tindakan untuk mendepani PKP ini seharusnya sudah ada kerana negara ini telah laluinya sejak 2020 lagi.

YB terus bekerja untuk rakyat

Gigihnya seorang ahli parlimen yang berusia muda menggalas tugasnya walaupun peruntukan untuk kawasannya dipotong.
“Saya boleh bantu Muar dengan sokongan rakyat Malaysia. Saya diamanahkan untuk jaga rakyat dan saya akan jaga sungguh-sungguh!” kata Ahli Parlimen Muar, YB Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Syed Saddiq sedang membungkus barang sumbangan orang ramai untuk diagihkan kepada warga Muar yang memerlukan

Menerusi status FB beliau baru-baru ini, Syed Saddiq berkata;
“Semalam saya panik sebab lebih 1000 food basket saya beli habis. Hari ni dapat stok lagi kerana sumbangan dari orang ramai. Thank you!!!”

Beliau yang menggerakkan kempen Bantuan Khas Muar SEJIWA berkata, PKP lepas, beliau dan rakyat Malaysia telah berjaya bantu beri hampir 1,000 laptop dan tablet, 7,000 keluarga terima FoodBank dan bantuan-bantuan lain.
“Saya telah serahkan gaji bulan Jun untuk Muar tetapi ia tidak mencukupi.
Tambahnya, beliau dan team Muar akan bekerja pagi dan malam untuk pastikan NO ONE WILL BE LEFT BEHIND.

Pelbagai komen membina dapat disaksikan dalam hantaran yang diketengahkan beliau:
“Tahniah YB. Teruskan amalan yang mulia ini. Tak perlu isi borang bagai. Turun padang terus serahkan kepada keluarga yang memerlukan. Tiada istilah kroni-kroni. Terbaik,” kata Fhaizal Jejai.

Akramin Rashid berharap agar lebih ramai YB yang lahir seperti ini, yang hidup untuk rakyat bukan untuk poket sendiri. “Terbaik YB orang muda.”

“Terbaik. YB teruskan usaha. Abaikan kritikan orang, yang penting niat YB Allah tahu untuk rakyat.. Semoga allah permudahkan segalanya,” kata Mohd Afiq.

“Well done, Syed Saddiq. Ignore the haters, teruskan bekerja. Ikhlas atau tidak bukan untuk manusia menilai,” kata Zain Putra.

Moga usaha-usaha yang dilakukan oleh beliau dicontohi oleh ahli-ahli parlimen yang lain dalam mendepani isu rakyat yang terjejas dengan PKP 3.0 ini.

Kempen Muar Sejiwa yang digerakkan Syed Saddiq untuk penduduk dalam parlimen Muar

Perlu lebih ramai Dr MM

Begitu juga mantan Menteri Pendidikan yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam, YB Dr Maszlee Malik yang tetap terus berkhidmat untuk rakyat kawasannya.

Isu terbaharu, selepas menerima laporan dari warga parlimen Simpang Renggam mengenai capaian Internet yang lemah ataupun tiada di kawasan masing-masing, pasukan pejabat Khidmat Rakyat Parlimen Simpang Renggam telah membuat tinjauan.

“Memang benar terdapat beberapa kawasan yang memang tiada capaian Internet ataupun capaian Internet yang terlalu lemah. Hal ini amat menjejaskan proses pembelajaran pelajar dan proses mengajar guru di kala PKP sekarang ini.”

Menerusi statusnya, beliau memberitahu, berdasarkan kesemua laporan yang diterima dan telah mengenal pasti 10 kawasan utama yang ramai penduduk tetapi tiada capaian Internet ataupun capaian Internetnya terlalu lemah.

“Kami masukkan kawasan-kawasan tersebut beserta koordinatnya dalam satu senarai untuk diberikan kepada syarikat-syarikat Telco di Malaysia. E-mel dan juga surat rasmi telah dikirimkan kepada lima syarikat utama Telco di Malaysia.”

Dapat dilihat menerusi status tersebut, rakyat sangat berterima kasih atas tindakan YB mereka itu.
“Kalau ada wakil rakyat sebegini dah lama Malaysia maju. Ini dekat bandar Kempas, Johor Bahru, Internet macamlah siput nak masuk kabel pun tak ada. Wakil rakyat tak pernah tanya pun,” kata Roza Idris.

Nur Diyanah Mohamed Ishak yang juga seorang guru memberikan responsnya dengan berkata, “Terbaik la dapat YB macam ni.. Hmmm bulan-bulan saya duk bayar mahal-mahal je tapi line teruk, tambah-tambah PdPR ni.. susah nak mengajar student.”

“Subhaanallah. Malaysia sangat memerlukan lebih ramai ‘Dr Maszlee’,” kata Shahrulbariah Sidek.
Hafiza Husairi pula menurutnya, “Kadang-kadang saya keliru.. mana satu Menteri Pendidikan ni?”

Posting di Facebook Dr. Maszlee Malik berkenaan tindakan segera menghantar surat kepada syarikat telco berkenaan pencapaian internet yang perlahan

Dalam pada itu, tidak terkecuali, terdapat juga luahan daripada netizen berkenaan isu yang diketengahkan itu.
“Di tempat kami, tiada siapa yang ambil peduli tentang pencapaian Internet yg sangat lemah dan kadang-kadang tiada langsung. Tahniah YB kerana prihatin tentang masalah rakyat,” kata Abu Hassan.

Hakikatnya inilah masa rakyat menilai wakil-wakil rakyat mereka, adakah yang berhormat atau yang bekerja?

Dengan harapan mewakili rakyat Malaysia, moga pada PRU akan datang, rakyat mampu memilih yang lebih baik lagi. Bukan yang hanya mahukan jawatan yb itu tetapi tidak melaksanakan amanah itu dengan sebaiknya.

Walaupun tanpa parti

Ini adalah dua contoh wakil rakyat yang wajar saya ketengahkan. Kedua-duanya ahli parlimen ini bukan daripada mana-mana parti. Justeru, tidak ada alasan untuk netizen menuding penulis berat sebelah, ambil contoh parti tertentu saja.

Tentunya bukan semua wakil rakyat berani turun padang di waktu-waktu begini, melainkan tunggulah pilihan raya, barulah meriah dengan ceramah dan aktiviti menyantuni rakyat yang dapat kita saksikan.

Kepada wakil-wakil rakyat yang sangat menjaga rakyat di kawasannya, jutaan penghargaan dan tahniah yang tidak terhingga kerana benar-benar menjadi ‘Yang Berkhidmat’ kepada rakyat kawasan YB!

Sebenarnya walau tiada parti (bebas), wakil rakyat harus bekerja dengan sungguh-sungguh kerana mereka telah dipilih oleh rakyat untuk memikul amanah itu.

Suara-suara rakyat melalui wakil rakyat

Perjuangan rakyat bukan ternoktah setakat pandemik ini saja, tentunya panjang dan berjela lagi. Sejauh mana kepekaan dan keprihatinan kerajaan kepada rakyat dapat diterjemahkan dengan sewajarnya. Bukan hanya menabur yang molek-molek, tetapi untuk melaksanakannya sangat jauh sekali.

Maka, suara-suara wakil rakyat harus segera didengari di parlimen. Sampai bila parlimen akan ditutup kerana ‘kepentingan’ tertentu oleh pihak tertentu itu? Cukup-cukuplah suara rakyat dinafikan selama beberapa bulan ini. Segeralah bersidang demi kemaslahatan yang lebih besar.

Carilah kata titik penyelesaian segala isu rakyat dan negara yang terjadi selama beberapa bulan ini. Jangan terus biarkan rakyat tertekan dan terkesan kerana pandemik dek kerana melihat fiil pihak berkuasa yang seperti buta, pekak dan tuli sahaja.

Bukalah parlimen segera!