Realtime website trackingweb stats

Muhyiddin sedia memilih untuk meletak jawatan

Oleh ADINDA

Dalam ucapan khas Perdana Menteri petang ini, Tan Sri Mahiaddin @ Muhyiddin Yaasin menjelaskan beliau mengakui hanya mempunyai dua pilihan menurut perlembagaan iaitu membubarkan parlimen atau meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri.

Hal ini kerana keabsahannya sebagai Perdana Menteri terus dipersoalkan semua pihak selepas UMNO mengumumkan menarik sokongan kepada Perikatan Nasional (PN) dan beberapa orang ahli parlimen UMNO telah mengumumkan perletakan jawatan dari kabinet dan GLC kerajaan.

Dalam masa yang sama Mahiaddin turut mengakui wujudnya rundingan dengan parti-parti di luar komponen PN untuk memberikan sokongan kepadanya sebagai Perdana Menteri. Sokongan ini bertujuan untuk membentangkan usul undi percaya di Parlimen yang dijangka akan dibentangkan pada bulan September nanti.

Beberapa dasar dan ketetapan baharu bakal dibentangkan di Parlimen nanti jika PM mendapat sokongan undi percaya daripada majoriti ahli parlimen dengan kerjasama bipartisan. Antara tawaran yang bakal diberikan adalah pemberian peruntukan yang sama rata kepada semua ahli parlimen pembangkang dan bakal dibentang rang undang-undang anti lompat parti.

Perdana Menteri juga mengumumkan pilihanraya umum ke 15 akan diadakan selewat-lewatnya bulan Julai pada tahun hadapan iaitu Julai 2022 dan bakal mengeluarkan surat jemputan rasmi kepada semua pemimpin parti-parti politik pada minggu hadapan untuk membincangkan kesepakatan hal ini.