Realtime website trackingweb stats

Muhyiddin perlu letak jawatan, jangan jadi diktator

Oleh ADINDA

Kenyataan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 29 Julai 2021 yang menyatakan antara lain kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan di Parlimen pada 26 Julai 2021 bahawa Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 telah dibatalkan pada 21 Julai 2021 telah dibuat tanpa mendapat perkenan Seri Paduka Agong.

Seri Paduka Agong juga telah menyatakan bahawa kenyataan tersebut adalah tidak tepat dan mengelirukan dan tindakan kerajaan membatalkan Ordinan Darurat tersebut dibuat bertentangan dengan titah Baginda sebelum ini yang mahukan Ordinan Darurat tersebut dibentangkan dan dibahaskan di Parlimen untuk diungkaikan.

Menurut peguam Faiz Fadzil, jelas titah Seri Paduka Agong ini telah menempelak Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri kerana kenyataan Takiyuddin tersebut dibuat atas keputusan kabinet yang diketuai Muhyiddin.

Faiz Fadzil

“Muhyiddin seharusnya bertanggungjawab ke atas keputusan tersebut yang dipersetujui oleh 3 parti komponen utama PN iaitu PPBM, UMNO dan PAS. Ordinan Darurat yang dibatalkan oleh kabinet tanpa perkenan Seri Paduka Agong adalah tidak sah mengambil kira Perkara 66 Perlembagaan Persekutuan dan Ordinan Darurat yang dimasyhurkan atas nama Seri Paduka Agong”.

Faiz mengatakan kenyataan Takiyuddin tersebut jelas membelakangkan kuasa Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong serta menghina Perlembagaan Persekutuan dan Muhyiddin tidak lagi sesuai untuk menjadi Perdana Menteri.

Faiz Fadzil yang juga ahli dewan undangan negeri Permatang Pasir turut mengatakan sikap Muhyiddin ini saling tak tumpah seorang diktator kerana tidak lagi menghormati kuasa lebih tinggi iaitu Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Perlembagaan Persekutuan.

Maka, Muhyiddin dilihat tiada pilihan lain selain daripada meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri. Ketua kerajaan akan dilihat sebagai diktator apabila gagal menjunjung keluhuran undang-undang dalam pentadbiran, apatah lagi mengelirukan badan legislatif.

Warkah berkaitan penamatan Ordinan Darurat bertulis 4 muka surat daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tular di media sosial pada Jumaat.

Tindakan membelakangkan Yang di-Pertuan Agong ini menurut Faiz Fadzil juga adalah satu jenayah yang boleh disiasat di bawah seksyen 121B Kanun Keseksaan (KK) – Kesalahan terhadap kuasa YDPA dan seksyen-seksyen yang berkaitan dengan aktiviti yang menjejaskan demokrasi iaitu seksyen 124B, 124C, 124H dan 124I Kanun Keseksaan.

Faiz menegaskan lagi, pemilihan Perdana Menteri baru hendaklah dibuat di Parlimen supaya Ahli Parlimen yang mendapat keyakinan majoriti datang dari Parlimen sendiri selaras dengan semangat Perkara 43(2) Perlembagaan Persekutuan dan precedent kes Stephen Kalong Ningkan.

“Krisis yang melanda negara hari ini hanya boleh diselesaikan dengan menukar kerajaan dan bukan sekadar Perdana Menteri. Menurunkan Perdana Menteri, bermaksud seluruh kabinet dan kerajaan PN terbubar”.