Realtime website trackingweb stats

Mufti Perlis jawab dakwaan ulama yang menghukum perkahwinan Sabri dengan Angeline tak sah

Oleh NOR SITI HAZLINDA

Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin, memberikan penjelasan berkenaan dakwaan perkahwinan pasangan pelakon yang dikatakan tidak sah.

Beliau menyatakan bahawa perkara-perkara seperti ini tidak sepatutnya dirumitkan dengan syarat-syarat yang ketat, kerana semasa zaman Nabi Muhammad, perkahwinan adalah proses yang mudah.

“Sesiapa yang membaca hadis-hadis nabi, dia akan mengetahui bahawasanya akad nikah memang mudah. Yang penting ialah cukup rukun, adanya ijab dan qabul.

“Ijab dan qabul ni maksudnya adanya kita memberikan satu tawaran perkahwinan dan satu pihak lagi menyambut tawaran perkahwinan itu. Tak adalah dalam agama ini kata dalam satu nafas, kena hafal balik perkataan yang akad tu.

“Apabila dia kata aku terima apa yang disebutkan, maka berlaku ijab dan qabul,” katanya dalam satu penjelasan video.

Beliau menjelaskan bahawa sesuatu pernikahan dianggap sah apabila semua rukun dipenuhi. Ini termasuklah pengantin lelaki, pengantin perempuan, dua orang saksi, wali, dan ijab dan qabul.

Sebelum ini, seorang ulama, Sheikh Nuruddin Marbu Al Banjari, mendakwa bahawa pasangan yang dinikahkan oleh Mufti Perlis tidak mematuhi prosedur ijab dan qabul yang sepatutnya.

Semasa akad nikah, Sabri hanya mengucapkan perkataan ringkas “saya terima seperti yang disebutkan.”

Ini menimbulkan persoalan tentang sah atau tidaknya pernikahan ini kerana pengantin tidak dengan jelas menyebutkan akad nikah yang membenarkannya berkahwin.

Namun, menurut Mohd Asri, akad nikah hanya terbatal jika pengantin lelaki lambat atau berlengah-lengah ketika menjawab akad nikah.

Ini bermakna akad nikah tidak hanya bergantung pada perkataan yang diucapkan semata-mata.

“Orang yang mengajar ni kadang-kadang kalau nikah ni buat main-main pun jadi nikah. Aku nikahkan kau dengan anak aku dan dia pun terima, terus jadi.

“Tapi bila time betul-betul nak akad nikah, dia letakkan pada satu nafas, huruf demi huruf, perkataan demi perkataan. Yang penting adalah adanya ungkapan yang mengatakan bernikah dengan siapa dinikahkan.

“Selain itu nikah boleh tak sah apabila terputusnya majlis dalam kadar yang lama. lepas dia angkat, dia tawarkan pernikahan, lepastu dia diam minum kopi dulu, sembang dengan kawan sebelah, kemudian barulah nak jawab akad nikah,” katanya.

Baca:

Fakta penting tentang kekejaman Israel terhadap Palestin, orang Islam wajib ambil tahu

Angeline Tan cerita punca sebenar dia akhirnya setuju berkahwin dengan Sabri Yunus

Boikot syarikat salur dana kepada penjajah, ini seruan Mufti Pulau Pinang demi mereka yang dizalimi