Boleh diibaratkan sebagai penutup tahun 2024 penuh gemilang, penganjuran Mobile Legend Bang Bang Pulai Challenge 2024 oleh Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Pulai telah berjaya menonjolkan prestijnya tersendiri.
Ruang legar utama KIPMall Tampoi menjadi saksi buat julung kalinya, lebih 700 orang hadir seawal jam 7.30 pagi bagi menyaksikan pertarungan melibatkan 71 pasukan yang terdiri daripada tujuh orang setiap pasukan.
Dengan tawaran hadiah terkumpul sebanyak RM6,000, ia menjadikan acara tersebut sebagai tumpuan utama anak muda di sekitarnya.
Uniknya program kali ini, para peserta dapat merasai pengalaman seperti bermain di peringkat profesional dengan suasana susun atur kawasan pertandingan serta ditayangkan di layar gergasi.
Pasukan Booster Raiden telah muncul sebagai juara dan membawa pulang hadiah wang tunai RM1,500, piala, medal, hamper dan sijil.
Tempat kedua disandang oleh pasukan Valhalla dan Kingz memenangi tempat ketiga masing-masing menerima RM600 dan RM400 beserta piala, medal, hamper dan sijil.
Tempat keempat sehingga kelapan juga turut diberikan hadiah sagu hati berupa wang RM100, medal, hamper dan sijil.
Ahli Parlimen Pulai, Tuan Hj Suhaizan Kaiat ketika merasmikan pertandingan ini berkata, pihaknya sudah lama merancang dan mengimpikan untuk menganjurkan program ini di Pulai dan akhirnya ia dapat direalisasikan.
“E-sukan bukan hanya hiburan, tetapi juga satu industri masa depan. Program seperti ini memberi anak muda platform untuk menyerlahkan potensi”
“Lebih menarik kali ini ia dapat dijayakan dengan gah dan mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada anak-anak muda di kawasan ini.
“Sudah pasti ini memberi semangat kepada kita untuk terus menganjurkannya pada tahun-tahun akan datang,” katanya.
Sementara itu, Nextstep Malaysia selaku pihak bertanggungjawab menguruskan pertandingan ini dari awal hingga akhir juga telah menunjukkan kepakaran mereka sebagai pengurus acara yang profesional.
Bermula daripada penentuan konsep, mencari peserta, pengundian, logistik, susun atur pertandingan, caster, perasmian, penjurian, hadiah dan peralatan yang digunakan, mewujudkan suasana pertandingan ini seolah-olah seperti berada di pentas terkemuka.
Selain itu, program ini juga turut dipancarkan secara langsung di platform media sosial bagi memudahkan orang ramai mengikutinya.
Kejayaan program ini turut mendapat pengiktirafan daripada wakil rasmi Jabatan Belia dan Sukan Negeri Johor, En.Ruhisyam bin Ibrahim yang hadir untuk meninjau penganjuran pertandingan.
Beliau turut memuji kualiti penganjuran serta sambutan luar biasa peserta yang terdiri daripada anak-anak muda setempat.
Acara ini diharap dapat menjadi pemangkin kepada lebih banyak program e-sukan di peringkat tempatan, sekaligus membantu membangunkan bakat baharu dalam industri yang semakin pesat berkembang.