MIXUE Malaysia Sdn Bhd hari ini tampil dengan kenyataan rasmi bagi menjelaskan isu yang timbul berkenaan status halal di salah satu cawangan mereka. Isu ini tercetus ekoran penggunaan plastik sampah yang dibeli melalui platform dalam talian, yang didapati mempunyai label bertulisan yang tidak sesuai dan berpotensi menimbulkan keraguan dalam kalangan pelanggan.
Dalam kenyataan tersebut, MIXUE Malaysia menegaskan bahawa plastik berkenaan hanya digunakan sebagai pembungkusan sampah dan tidak berkait langsung dengan penyediaan makanan. Namun, syarikat itu mengakui bahawa mereka mengambil berat tentang isu ini dan telah bertindak pantas untuk menanganinya.
“Walaupun plastik ini hanya digunakan untuk membungkus sampah dan tidak melibatkan proses penyediaan makanan, kami tetap memandang serius perkara ini,” jelas MIXUE Malaysia.
Sebagai langkah bertanggungjawab, syarikat itu telah mengambil beberapa tindakan segera. Antaranya, mereka telah memohon agar proses sertu (pembersihan mengikut hukum syarak) dilaksanakan di cawangan terlibat bagi memastikan kebersihan dan pematuhan penuh terhadap standard halal. Selain itu, penggunaan plastik tersebut telah dihentikan serta-merta, dan prosedur pembelian semula bahan-bahan yang digunakan akan dikaji semula bagi mengelakkan kejadian serupa pada masa akan datang.
MIXUE Malaysia juga menekankan bahawa semua bahan mentah yang digunakan dalam penyediaan produk mereka adalah daripada sumber yang halal dan disokong oleh sijil halal yang sah. “Kami kekal berkomitmen untuk memastikan kebersihan, kualiti, dan pematuhan halal di semua cawangan kami,” tegas syarikat itu.
Tidak lupa, MIXUE Malaysia turut memohon maaf atas sebarang kekeliruan atau salah faham yang timbul akibat insiden ini. “Kami sekali lagi memohon maaf atas sebarang salah faham yang berlaku dan mengucapkan terima kasih atas sokongan serta kepercayaan berterusan daripada pelanggan kami,” tambah kenyataan tersebut.
Dengan tindakan pantas dan penjelasan yang telus ini, MIXUE Malaysia berharap dapat mengembalikan keyakinan pelanggan terhadap komitmen mereka dalam mengekalkan standard halal dan kualiti yang tinggi di semua cawangan mereka.
Baca lagi :