Sebaik-baik minuman di muka bumi ini adalah air zam zam yang sumbernya terletak di Kota Makkah Al-Mukarramah.
Bagi mereka yang pernah menjadi tetamu Allah, pasti pernah melihat banyak dispenser air zam zam yang diletakkan di setiap penjuru Masjidil Haram.
Di sebelah dispenser tersebut, disediakan juga cawan pakai buang untuk kemudahan orang ramai yang ingin minum air zam zam.
Bagaimanapun, melalui satu hantaran di laman TikTok oleh Kak Hajjah, ada dikongsikan satu peringatan kepada jemaah haji atau umrah mengenai penggunaan dispenser air zam zam ini.
Menurut Kak Hajjah, penting untuk menyampaikan pesanan ini kerana ia berkaitan dengan kebersihan dan mengelakkan risiko penyebaran wabak berjangkit.
“Saya ingin beritahu, jika ingin minum air zam zam, elakkan mengambil cawan yang paling atas. Ada segelintir jemaah yang tidak bertanggungjawab, selepas minum, mereka meletakkan kembali cawan yang telah digunakan di situ.
“Cawan terpakai sepatutnya diletakkan dalam satu lubang khas di sebelah dispenser air zam zam, supaya pekerja pembersihan Masjidil Haram dapat mengutipnya.
“Saya sering melihat perkara ini berlaku di depan mata saya. Oleh itu, jadikan kebiasaan untuk mengambil cawan yang berada di bawah sedikit, supaya kita tidak menggunakan cawan yang sudah digunakan oleh jemaah lain,” jelas Kak Hajjah.
Maklum balas netizen
“Terima kasih atas perkongsian ini. Saya akan lebih berhati-hati jika berpeluang menjejakkan kaki ke tanah suci. Ini adalah soal kebersihan.
“Air liur jemaah lain mungkin bukan najis, tetapi tetap rasa kurang selesa berkongsi.
“Kalau minum dari gelas kawan pun kita fikir dua tiga kali, apatah lagi dengan orang yang kita tidak kenal langsung,” demikian kata sebahagian warga maya.