Realtime website trackingweb stats

Miliki kekayaan cecah lebih RM9 bilion, bekas pemilik Harrods akhirnya meninggal dunia

Oleh ADINDA

Miliki kekayaan cecah lebih RM9 bilion, bekas pemilik Harrods akhirnya meninggal dunia.

Bekas pemilik gedung beli-belah terkenal Harrods, Mohamed Al Fayed dilaporkan meninggal dunia pada usia 94 tahun.

Mohamed Al Fayed merupakan bapa kepada Dodi Fayed iaitu kekasih mendiang Puteri Diana yang maut dalam kemalangan ngeri di sebuah terowong di Perancis pada 31 Ogos 1997.

Lapor BBC, keluarga Al Fayed dalam satu kenyataan memaklumkan jutawan itu meninggal dunia akibat uzur pada 30 Ogos lalu.

“Isteri Al Fayed, anak-anaknya dan cucunya ingin mengesahkan suaminya yang dikasihi, bapa mereka, dan datuk mereka, Mohamed Al Fayed menghembuskan nafas terakhir dengan tenang akibat uzur pada Rabu lalu,” jelas kenyataan itu.

Jutawan kelahiran Mesir itu membina empayar perniagaan di Asia Barat sebelum berpindah ke United Kingdom (UK) pada tahun 1970-an.

Sepanjang hidupnya, Mohamed Al Fayed yang memiliki Harrods, Fulham Football Club dan hotel Ritz di Paris, dikatakan sentiasa menjadi ‘orang luar’ di Britain.

Beliau tidak menyangka cita-citanya untuk mendapatkan kerakyatan akan gagal meskipun sudah menetap di Britain selama beberapa dekad.

Mohamed Al Fayed menghabiskan masa beberapa tahun cuba membuktikan Dodi dan Diana dibunuh apabila kereta mereka terbabas dalam terowong ketika pasangan itu cuba melarikan diri daripada ‘paparazi’.

Sejak sedekad lalu, Mohamed Al Fayed jarang muncul di khalayak ramai dan menghabiskan masa tinggal bersama isterinya, Heini di rumah agamnya di Surrey.

Sementara itu, Fulham FC yang dimiliki beliau selama berdekad, menzahirkan ucapan takziah dan rasa sedih dengan berita kematian Mohamed Al Fayed.

“Bagi pihak semua di Fulham Football Club, saya mengucapkan takziah kepada keluarga dan rakan Mohamed Al Fayed atas berita kematiannya pada usia 94 tahun,” kata Shahid Khan yang menggantikan mendiang sebagai pemilik kelab bola sepak itu.

Dilaporkan, Al Fayed menjual Harrods kepada dana kekayaan Qatar pada tahun 2010.

Hampir separuh daripada wang jualan itu digunakan untuk melunaskan hutang syarikatnya.

Baca:

Dapat mesej mahu balik, rupanya balik buat selama-lamanya, Amir kini tinggal sebatang kara

Berhabis lebih RM700,000 panjangkan kaki ikut kehendak suami, akhirnya model ini menyesal

Nafsu makan lain macam, daging beruang penyebab puluhan lembu tenusu mati jadi buruan