Merenung kembali monarki Malaysia

Oleh ADINDA

Setelah meneliti analisis sejarah monarki oleh pelbagai sejarawan dari zaman berbeza-beza – dari yang telah mengkebumikan institusi monarki Malaysia, kepada yang menyarankan autoritinya berkurangan sekali, kepada yang berpendapat bahawa kekuasaannya dipulih kembali dalam upaya merenovasikan ideologi monarki tersebut, maka pada umumnya terdapat dua kutub pandangan tentang institusi tersebut.

Kajian tentang monarki di Malaysia menghadapi kesulitan dalam tiga erti daripada jumlah enam erti kata ‘sulit’. Sulit disini dipakai dalam erti dirahsiakan; sulit dalam erti tidak terang-terangan; sulit yang beerti rumit – adalah masalah yang dihadapi para pengkaji kerana pertimbangan undang-undang selain kekangan konvensi sosial, sekali pun belum wujud undang-undang Les Majestie (Keterlukaan Raja).

Umumnya, terdapat dua kutub pandangan tentang institusi monarki. Yang satu menginginkan penamatannya dengan alasan kukuh. Sementara kutub satu lagi pula menginginkan penerusannya juga dengan sebab-sebab logikal. Meskipun kedua-dua kutub tersebut berselisihan pendirian, secara objektifnya saling mempengaruhi dan saling dipengaruh.

Dilihat dari satu sudut dua pandangan berkontradiksi sebenarnya berhubungan secara dialektik sehingga muncul pemikiran ketiga.

Garis Pertama

Bahawa institusi monarki boleh ditamatkan kerana gunanya dan fungsinya tiada lagi setelah Malaysia mengalami perubahan besar  dari masyarakat jenis feudal kepada masyarakat jenis kapitalis. Transformasi monarki di negeri-negeri bekas feudal di barat dan timur menjadi petunjuk pendapat ini.

Perjanjian Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu telah ditandatangani di antara Raja-raja dengan wakil Ratu Britain, Pesuruhjaya Tinggi, Sir Donald MacGillivray di King’s House, Kuala Lumpur dalam satu upacara gemilang yang berlangsung selama dua jam

Selain itu, institusi tersebut dianggap menyalahi zaman – anachronism – kerana tidak lagi memiliki kekuasaan yang sekarang dalam tangan Perdana Menteri. Yang dianggap roh zaman – Zeitgeist – adalah praktik pemilihan, konsep pencapaian (achievement) yang melawan konsep kewarisan (ascription).

Kutub moden – tradisional menjadi slogan pendukung garis tersebut. Namun, jarang sekali garis ini terungkap secara terbuka, malah pada kebanyakan waktu di tingkat batin, justru kerana kekangan undang-undang dan tekanan adat. Walaupun tiada protes daripada organisasi, sentimen anti-monarki meledak dari masa kemasa di kalangan belia, terutamanya di media sosial.

 

 

Garis Kedua

Menginginkan kelestarian institusi monarki atas beberapa sebab. Antaranya kerana status bangsa/nasion Melayu. Kini orang Melayu sekadar suku-bangsa setelah 1957. Oleh yang demikiran, monarki menjadi sisa tanda nasion yang hilang itu.

Infografik jumlah penduduk Malaysia 2021 suku pertama

Selain itu, institusi tersebut dijadikan ‘pelindung’ malah ‘perisai’ dalam masyarakat yang ditandai dengan ketaksamaan ekonomi. Ketaksaman ekonomi menghasilkan ketaksamaan sosial. Paling parah ketaksamaan tersebut bertindih dengan suku-bangsa. Kelas dan etnik bertemu berada di satu titik. Hal ini menambahkan lagi kegelisahan sosial, khususnya kelas bawahan.

Enggan, malah dihalang dalam sejarah dari memilih sistem yang memungkinkan egalitarianisme, maka institusi monarki terus-terusan dijadikan ‘penahan sakit’ dan ‘penenang sosial’ kelas bawahan.

Sekalipun ‘Rakyat dan Raja Berpisah Tiada’ dijadikan slogan, namun terdapat dalam sejarah hubungan antara dua pihak itu menjadi renggang, seperti pada peristiwa Malayan Union. Juga pada 1955 apabila UMNO menjadi ‘pelindung rakyat’ Melayu. Begitu juga, sewaktu-waktu Dasar Ekonomi Baru (DEB) merapatkan jurang ekonomi antara suku-bangsa, keeratan Raja-Rakyat relatif mengurang.

Namun, diamati setelah Mei 2018 hanya 25% orang Melayu memilih PH, sementara jumlah ahli parlimen kerajaan majoritinya bukan Melayu. Hubungan Rakyat-Raja menjadi rapat kembali. Amati juga peristiwa ICERD dan Statute Rome, bagaimana Rakyat Melayu menjadi pelindung Raja.

Perdana Menteri pertama daripada PH, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri buat kali kedua sebelum meletak jawatan dan kerajaan PH tumbang.

Keeratan hubungan tersebut ternyata tidak bertahan lama. Dilaporkan Utusan Malaysia, 13 Ogos 2019, Hasan Mad, Setiausaha Agung Majlis Perundingan Malayu menzahirkan sedih perihnya dalam makalahnya: “Pada hemat saya, untuk orang Melayu kembali berpaut mengadu nasib kepada istana agak sukar sebab sudah lama berpisah..”

Satu kisah putus harapan dan peristiwa harap cemas seorang pemimin yang patah hati dengan Rajanya “Sebab sudah lama berpisah.”

Sultan yang menandatangani perjanjian Malayan Union.
Sumber : bukuteks.dbp.gov.my

Garis Ketiga

Garis ketiga adalah hasil proses dialektik antara garis pertama dengan kedua tadi. Garis ini menganggap monarki kini adalah sisa sejarah kita sendiri yang muncul pada abad ketujuh kerajaan Melayu Sriwijaya dipalembang. Kini, institusi tersebut sebenarnya dianggap institusi kelongsong dengan substansinya yang minimal, tetapi tetap tercatat dalam perlembagaan negara.

Garis ini mengakui kekuatan memori sosial dan memori kolektif akan terus mendukung institusi itu selagi keadilan ekonomi, sosial dan politik orang Melayu tidak terselesaikan. Terdapat berbagai aliran dalam garis ketiga. Satu variasi melihat monarki dalam rangka besar, yakni apakah yang menjadi kontradiksi primer bangsa Malaysia.

Yang menjadi kontradiksi primer adalah kontradiksi kelas yang bertemu dititik bersamaan dengan suku-bangsa. Jadi Monarki bukan sebahagian kontradiksi primer, malah monarki, secara sosiologis, adalah cerminan pucat sistem feudalisme yang telah lama digerhanakan oleh kapitalisme.

Oleh sebab diatas, garis ketiga bersikap ambivalen terhadap garis pertama dan kedua, yakni bersikap setuju sambil tidak setuju. Sering dipertanyakan oleh garis ketiga: tidakkah Ratu Inggeris bersemayam pada period Parti Buruh memerintah? Bukankah pangeran Sihanouk masih bertahta sewaktu PolPot melancarkan kejuruteraan sosial raksasanya di Kampuchea? Ertinya, Monarki bukan persoalan pokok.

Keadaan Seadanya

Atas pertimbangan sejarah dan sosiologi kita sendiri dan dilihat dari perspektif ekonomi politik, maka yang terbaik bagi Malaysia adalah membina satu teori progresif tentang monarki yang sesuai dengan roh zaman. Hal sama pernah diusahakan sewaktu Perlembagaan negara merangkumi peruntukan untuk monarki.

Institusi Monarki konstitusional adalah tradisi. Sebarang tradisi adalah rekaan masyarakat. Ia menumbuh dan hanya tersinar apabila terjadi detradisionalisasi seluruh masyarakat. Hal tersebut bersangkutan pula dengan takdir sejarah.

Raja-raja Melayu yang layak memilih dan menduduki takta Yang Dipertuan Agong

Memang manusia membuat sejarah yang semahu-mahunya mereka. Tetapi, mereka tidak pula membuat sejarah dibawah kondisi-kondisi yang mereka pilih sendiri, tetapi berdasarkan pada kondisi-kondisi seperti yang terberi, seperti yang tersedia dan yang merupakan warisan masa lampau itu.

Tentu sekali, warisan masa lampau itu termasuk institusi Monarki.

 

Mimbar Gerakbudaya,
Abdul Halim Ali,
Petaling Jaya,
25 Ogos 2019

 

 

Dr. Abdul Halim Ali atau nama penanya A. Halim Ali berkelulusan ijazah doktor falsafah (Ph.D) dalam bidang Kesusasteraan Melayu Moden berasal dari Merchang, Terengganu. Beliau bertugas sebagai Profesor Madya Kesusasteraan Melayu di Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjong Malim, Perak.

 

Siar semula sumber : www.gerakbudaya.com/