Realtime website trackingweb stats

Menteri Perikatan Nasional persoal Ketua Pengarah Kesihatan kerana bersuara

Oleh ADINDA

 

 

Dr Zulqarnain Lukman

KEBUNTUAN MENTERI UNDANG-UNDANG DAN KETUA PENGARAH KESIHATAN

Darurat 2021 ini membawa rakyat Malaysia kepada dimensi undang-undang awam ke tahap baharu. Pelbagai tindakan yang dibuat nampaknya banyak bersalahan dengan prinsip undang-undang.

Keanehan ini lebih banyak berlaku pasca Langkah Sheraton atau Langkah Tebuk Atap. Peristiwa tebuk atap pun sudah jadi satu norma baharu dalam undang-undang Perlembagaan sedangkan sebelum tahun 2009 (Kes MB Perak) ternyata pelajar undang-undang diajar bahawa satu-satunya langkah untuk menukar Menteri Besar atau Perdana Menteri adalah sama ada dengan perletakan jawatan atau dengan lulusnya usul undi tidak percaya di dalam Dewan. Prinsip ini juga didokong di seluruh negara komanwel kecuali Malaysia.

Mahkamah putuskan Nizar MB yang sah
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengumumkan Nizar Jamaluddin sebagai menteri besar Perak yang sah setelah digugurkan jawatan tersebut pada Februari sebelum Mahkamah Persekutuan membatalkan keputusan itu.

Setelah Mahkamah Persekutuan mengabsahkan tindakan menukar MB Perak di luar dewan sebagai satu langkah berperlembagaan maka keadaan politik menjadi kucar-kacir dalam hal keadaan majoriti sokongan yang memerintah itu kecil.

Surat Akuan Berkanun menjadi senjata kepada segolongan ahli politik untuk meyakinkan pihak Istana untuk menukar ketua negeri dan ketua negara kecuali pertukaran MB Perak pada tahun 2021. Ajaibnya, pertukaran MB Perak itu dibuat dengan usul undi percaya. Maknanya, ada pihak yang tikam belakang atau berwajah hipokrit di depan dan dalam diam-diam menyula di belakang. Asasnya politik integriti semakin hari semakin pudar dan politik hipokrit mula mendominasi negara.

Perkembangan ini sebenarnya tidak sihat untuk Perlembagaan negara. Meskipun, Perlembagaan Persekutuan ini pernah dikatakan dikatakan sebagai perlembagaan jahiliyyah oleh seorang ulama namun prinsip integriti ini adalah prinsip yang murni yang selari dengan nilai Islam.

Presiden PAS, Abdul Hadi Awang dikatakan orang pertama tanda tangan SD sokongan kepada Muhyiddin sebagai Perdana Menteri

Prinsip Perlembagaan telah menyatakan had dan bidangkuasa legislatif, eksekutif dan kehakiman. Perlembagaan juga menyatakan beberapa institusi lain yang mendokong kerajaan seperti YDPA, Majlis Raja-Raja, Peguam Negara, Akauntan Negara, penjawat awam, tentera, polis dan lain-lain.

Apabila seorang Menteri Undang-Undang memilih untuk menegur seorang Ketua Pengarah Kesihatan secara kenyataan media bermakna ada suatu kejanggalan yang berlaku. Sudah ada bau-bau busuk hancing dalam perhubungan antara menteri dan penjawat awam dan ini adalah sesuatu yang amat negatif yang boleh merosakkan negara.

Apakah tidak mungkin Menteri Kesihatan itu sendiri bercakap dengan Ketua Pengarah Kesihatan tentang hal ini? Apakah tidak mungkin Menteri Undang-Undang itu mendail telefon atau berwassap kepada Ketua Pengarah Kesihatan dan menerangkan kepadanya hal yang dihajati?

Keharmonian antara penjawat awam dan Menteri tidak boleh dipandang ringan apatah lagi ianya bersabit dengan Covid-19. Sudahlah kenyataan Menteri Undang-Undang yang menyatakan bahawa kabinet akan menasihati YDPA berhubung dengan penyambungan tempoh darurat itu sendiri dipersoalkan kerana bertentangan dengan ordinan darurat itu sendiri yang menyatakan bahawa Jawatankuasa Bebas yang sepatutnya menasihati YDPA.

Kenyataan media yang dikeluarkan Menteri Undang-undang mempersoal tindakan Pengarah Kesihatan memberi komen tentang darurat

Jika keadaan kucar-kacir pemerintahan ini tidak ditamatkan maka dikhuatiri negara akan dilanda dengan musibah lebih besar kerana pertentangan antara penjawat awam dan menteri itu sendiri. Bayangkan jika perseteruan ini berpanjangan maka pastinya SOP yang dibuat itu tidak berlandaskan fakta dan data tetapi berlandaskan asas untuk mengekalkan kekuasaan tampuk politik.

Akhirnya rakyat sendiri yang akan menanggung sengsara dengan pemakaian SOP yang berubah-ubah setiap hari. Rakyat sudah cukup sengsara dengan PKP 3.0 bila mana mata pencarian mereka telah disekat dan tiada bantuan daripada kerajaan sampai untuk moratorium, upah gaji pekerja dan sewa premis. Sampai bilakah rakyat harus menanggung derita #KerajaanGagal.

 

 

Dr. Zulkarnain Lukman, seorang peguambela, peguamcara dan peguam syariah. Berpengalaman luas dalam bidang perundangan merupakan yang juga bekas anggota jawatankuasa teknikal perlaksanaan syariah negeri Kelantan dan bekas anggota Jawatankuasa Teknikal Syarak dan Sivil di bawah Menteri Hal Ehwal Agama JPM. Kini merupakan Pengerusi Biro Undang-undang (KANUN) Parti Amanah Negara.