Ramai menghadapi masalah hutang tak berbayar, terutamanya apabila berurusan dengan individu yang sukar untuk melunaskannya.
Namun, tahukah anda bahawa kita boleh menuntut hutang melalui Mahkamah Tuntutan Kecil tanpa menggunakan khidmat peguam?
Peguam Syahredzan Johan berkongsi cara untuk memastikan hak anda sebagai pemiutang dilindungi melalui saluran Mahkamah Tuntutan Kecil.
Untuk makluman, Mahkamah Tuntutan Kecil adalah Mahkamah Majistret yang ditubuhkan khusus untuk tuntutan kecil.
Beberapa fungsi utama mahkamah ini termasuk:
Mempercepatkan proses tuntutan semula wang, barangan, atau bayaran lain, termasuk tuntutan berkaitan pelanggaran kontrak.
Mengurangkan beban kes di mahkamah dengan menyelesaikan tuntutan kecil.
Kos untuk mengisi dan menghantar borang tuntutan hanya RM20.
Namun, terdapat tiga syarat yang perlu dipatuhi sebelum membuat tuntutan iaitu Tuntutan mestilah RM5,000 ke bawah sahaja, Kedua-dua pihak tidak boleh diwakili oleh peguam, Plaintif (orang yang menuntut) mesti individu dan bukannya syarikat atau entiti lain.
Perlu diingatkan, hanya beberapa perkara sahaja boleh dibuat untuk mendapatkan tuntutan kecil ini, termasuk:
-Mendapatkan kembali hutang.
-Tuntutan barangan.
-Upah perkhidmatan yang tidak dibayar.
-Sewa menyewa.
-Tuntutan atas barangan yang rosak.
-Tuntutan untuk persembahan yang tidak dilaksanakan.
Menurut Syahredzan, yang juga Ahli Parlimen Bangi, terdapat langkah-langkah untuk menuntut hutang di Mahkamah Tuntutan Kecil:
Pilih Mahkamah
Tuntutan ini boleh dibuat di mana-mana Mahkamah Majistret yang terdekat. Pastikan anda melawat Pejabat Pendaftaran Mahkamah pada waktu pejabat.
Isi Borang Tuntutan
Untuk memulakan proses saman, anda perlu mengisi Borang 198. Borang ini boleh didapati secara percuma di mahkamah dalam 4 salinan.
Pastikan anda menyatakan amaun yang dituntut, butir-butir tuntutan (termasuk tarikh dan bagaimana tuntutan tersebut timbul) serta asas tuntutan.
Jangan lupa untuk menandatangani borang tersebut atau menggunakan cap jari.
Failkan Borang Tuntutan
Setelah borang diisi, anda perlu memfailkannya di Pejabat Pendaftaran Mahkamah Majistret Kelas Dua.
Bayaran pemfailan sebanyak RM20.00 diperlukan. Pejabat Pendaftaran akan meletakkan meterai Mahkamah pada keempat-empat salinan borang dan menetapkan tarikh pendengaran.
Penyampaian Tuntutan
Akhir sekali, anda perlu menyampaikan Borang 198 kepada alamat terakhir defendan yang anda ketahui untuk memastikan proses berjalan lancar.
BACA: Pengikut ishowspeed ‘bodoh’, cikgu ini risau dengan generasi baharu