Melancong atau balik kampung ziarah ibu bapa?

Oleh ADINDA

PENGUMUMAN kerajaan ming­gu lalu yang membenarkan semua penduduk termasuk yang berada dalam Fasa Satu, Pelan Pemulihan Negara (PPN) melancong ke Pulau Langkawi bermula Khamis ini memberi kelegaan sebahagian rakyat Malaysia.

Rata-rata mereka menyambut baik langkah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) yang telah membuka peluang untuk rakyat ‘membebaskan’ diri selepas penat bertarung dengan Covid-19.

Bagi rakyat, ini adalah salah satu hadiah istimewa untuk reward diri selepas berhempas-pulas berkurung di rumah dan melepaskan gian untuk berjalan.

Menurut Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri, walaupun boleh dikunjungi, namun pengunjung perlu memohon kebenaran Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk melancong ke pulau tersebut. Walaupun Menteri Kesihatan pula memaklumkan tidak perlu kebenaran polis jika ke Langkawi menaiki pengangkutan udara pula.

Selain itu katanya, pelancong juga tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) antara­nya adalah kebenaran melancong itu terhad kepada kepada pelancong domestik yang lengkap dua dos vaksinasi.

Tambah beliau, tiada had umur ditetapkan untuk kemasukan ke Pulau Langkawi dan individu berumur bawah 18 tahun perlu bergerak bersama penjaga yang lengkap divaksinasi.

Pelbagai syarikat pelancongan dan pengangkutan mula membuat pelbagai promosi kepada orang ramai untuk berkunjung ke Langkawi sejurus pengumuman tersebut.

Oleh itu, bagi mereka yang sudah lama ‘berhajat’ ke pulau bebas cukai itu, pastikan semua SOP dan syarat dipatuhi.

Bagi yang antivaksin, mungkin boleh kekal sahaja duduk di rumah diam-diam sambil melihat update laman sosial dari rakan-rakan.

Tiket penerbangan dari Kuala Lumpur ke Langkawi bermula serendah RM12 sehala dan RM24 pergi balik

Namun, bagi sesetengah penduduk, selain bercuti mereka mengharapkan pengumuman lebih besar daripada kerajaan iaitu kebenaran rentas negeri kerana rata-rata mereka sudah dua kali beraya di perantauan.

Berdasarkan penelitian penulis di laman sosial, ramai yang ‘menaruh’ harapan besar kepada kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob agar segera membuka pintu sempadan negeri.

Kata mereka, tiada ‘hadiah’ lebih bermakna selain dapat bertemu dan berkumpul dengan seluruh ahli keluarga di kampung.

Selaras dengan hasrat seluruh rakyat itu, Presiden Persa­tuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr. Zainal Ariffin Omar sebelum ini ada mengulas mengenai kelonggaran rentas negeri.

Beliau berkata, kelonggaran pergerakan wajar diberi memandangkan negara sudah mencapai liputan imunisasi yang tinggi iaitu melebihi 60 peratus populasi dewasa.

Bagaimanapun katanya, kelonggaran itu perlu terhad dalam kalangan individu yang telah melengkapkan suntikan vaksinasi.

“Kalau nak rentas negeri kerana mahu pulang ke kampung untuk menziarahi orang tua boleh, tapi pastikan mereka (orang tua) kita juga sudah lengkap divaksinasi.

“Ini kerana risiko untuk seseorang menjangkiti ahli keluarga yang belum divaksin itu masih ada. Sekarang ini liputan imunisasi sudah tinggi, jadi tiada sebab lagi untuk seseorang itu tidak mendapat vaksin,” ujarnya.

Walaupun begitu, Zainal Ariffin mengingatkan semua pihak supaya tidak melakukan aktiviti sosial seperti penganjuran majlis atau kenduri yang membabitkan orang ramai berkumpul.

Larangan itu katanya, bagi mengelakkan tercetusnya kluster-kluster baharu dalam komuniti dan juga masyarakat sekitar.

Justeru, apapun pilihan anda, yang penting kita perlu sentiasa mengamalkan SOP dan arahan yang telah ditetapkan pihak berkuasa, jangan sampai kita dikurung sekali lagi.

Selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memutuskan Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya beralih kepada Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara bermula Jumaat lepas, air terjun Sungai Pisang diserbu orang ramai untuk beriadah baru-baru ini.

Ingat, jangan salah gunakan ‘kebebasan’ yang ada jika tidak mahu susah di kemudian hari.