MCMC kompaun ketua penerangan Bersatu Hulu Langat, ini puncanya

Oleh ABDULLAH HAMID

MCMC kompaun ketua penerangan Bersatu Hulu Langat, ini puncanya. Seorang pemimpin akar umbi daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dikenakan kompaun sebanyak RM10,000 oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) gara-gara memuat naik kandungan jelik dan melampau di media sosial yang menyentuh isu sensitif.

MCMC dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa Mohamad Shafiq Abdul Halim, yang juga Ketua Penerangan Bersatu Hulu Langat, memuat naik kandungan tersebut pada 31 Mac lalu di TikTok, membabitkan sentimen kaum dan agama yang berkaitan dengan isu pekerja Menara Kuala Lumpur.

Tindakan Berdasarkan Undang-Undang

Menurut MCMC, tindakan penguatkuasaan ini dilakukan setelah menerima izin pengkompaunan daripada Jabatan Peguam Negara, hasil siasatan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Seksyen ini melarang penggunaan mana-mana rangkaian atau aplikasi bagi menyebarkan kandungan lucah, palsu, jelik, mengancam atau sumbang yang boleh menggugat sensitiviti masyarakat,” tegas MCMC.

MCMC turut mengingatkan pengguna media sosial agar beretika dan bertanggungjawab ketika berkongsi sebarang kandungan, terutama yang boleh menyentuh isu agama, kaum atau institusi diraja.

“Saya Rasa Diintimidasi” – Shafiq Dakwa Pegawai MCMC Bertindak Kasar

Dalam satu hantaran di media sosial, Mohamad Shafiq meluahkan rasa tidak puas hati terhadap cara MCMC menyampaikan surat tawaran kompaun ke rumahnya sekitar jam 11.30 pagi.

Katanya, kehadiran kira-kira tiga hingga empat pegawai MCMC yang datang tanpa memperkenalkan diri telah menimbulkan rasa takut dan kebimbangan jiran tetangga, malah ada yang menyangka beliau terlibat dalam sesuatu jenayah serius.

“Seorang pegawai MCMC turut dilihat merakam gambar suasana dalam rumah dan kawasan kejiranan, kononnya untuk dokumentasi, tanpa penjelasan yang jelas,” dakwanya.

Beliau menyifatkan tindakan itu sebagai berbaur intimidasi, dan boleh memberi gambaran buruk kepada masyarakat sekeliling yang menyaksikannya.

MCMC Tegas – Tiada Toleransi Untuk Kandungan Jelik Melampau

Dalam hal ini, MCMC tetap teguh dengan pendirian mereka bahawa tiada kompromi terhadap kandungan media sosial yang boleh menjejaskan keharmonian dan sensitiviti rakyat Malaysia.

BACA JUGA :

PAS kena cerai lagi, BERSATU gila talak, ingin kembali bersama UMNO

Keluarga Timbalan Ketua Penerangan Bersatu ditahan SPRM, dakwaan rasuah

Ketegangan dalaman & hubungan Bersatu-PAS punca gesaan PRU awal