Realtime website trackingweb stats

Masih ramai yang kena ‘scam’

Oleh ADINDA

Akta yang melindungi maklumat peribadi individu di Malaysia ialah di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (Akta 709).

Tujuan akta ini dikuat kuasa supaya golongan pengguna data seperti sektor perbankan, insurans dan jualan langsung akan lebih bertanggungjawab dalam memberikan maklumat peribadi individu kepada pihak luar.

Akta 709 mula berkuat kuasa pada 15 November 2013. Ini bermakna sudah lebih 10 tahun berlalu, namun data-data peribadi masih tidak selamat dan tidak ada jaminan.

Mengapa tiada jaminan? Hampir setiap hari pihak polis masih menerima laporan berhubung kegiatan scammer yang semakin berleluasa sehingga menyebabkan kerugian beribu ringgit.

Bagaimana maklumat sulit seperti nama, alamat, nombor kad pengenalan, nombor pasport, maklumat kesihatan, e-mel, gambar, imej rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan maklumat dalam fail peribadi boleh bolos dengan begitu mudah.

Dalam pada itu, berapa ramaikah pemegang amanah yang tidak sepatutnya membocorkan data dihadapkan ke muka pengadilan dan dijatuhi hukuman berat.

Berapa ramai lagi rakyat yang tidak bersalah dan kurang pengetahuan terutamanya warga emas akan terus menjadi mangsa kerakusan mereka yang tamak ini baharu tindakan tegas akan diambil.

Sehubungan itu, desakan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil supaya kerajaan membentangkan pindaan Akta 709 pada sidang Parlimen Julai ini amatlah tepat.

Fakta beliau mengenai lebih 100 juta set data peribadi di Malaysia dipercayai dicuri daripada syarikat-syarikat atau badan-badan di bawah bidang kuasa pelbagai kementerian dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini amat serius.

Sekarang terserah kepada kerajaan untuk mengambil tindakan terutama pada sidang Dewan Rakyat bermula 18 Julai nanti.

Selain isu kawalan harga barang dan kebajikan rakyat, hal berkaitan kebocoran data peribadi juga amat penting dan perlu diatasi segera.

Peningkatan kes kecurian data peribadi yang semakin membimbangkan membuktikan sebenarnya jenayah tanpa sempadan wujud dengan ganas. Mampukah kita menghalangnya?

Perlu diingat, yang menjadi mangsa adalah masyarakat iaitu rakyat Malaysia sendiri. Jangan ambil ringan terhadap perkara yang membabitkan rakyat.

Baca:

Muhyiddin Yasin Nafi Fitnah Ahmad Zahid Hamidi

Bubarkan PAS Kerana UMNO Sudah Bawa Islam

Meriam Buluh Lambang Kemeriahan Hari Raya

Tonton: