Malaysia Nyatakan Kesiapsiagaan Sertai Misi Pengaman PBB ke Gaza – Anwar

Oleh Ahmad Fahmi

KUALA LUMPUR, — Malaysia menyatakan kesediaan untuk mengambil bahagian dalam Misi Pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Gaza, bersama negara-negara sehaluan termasuk dalam kalangan anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perkara itu disampaikan oleh Perdana Menteri dalam mesyuarat dua hala dengan Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, yang berlangsung di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada Ahad.

“Malaysia menegaskan pendirian teguh terhadap perjuangan rakyat Palestin dan menyokong penuh pendirian konsisten PBB serta keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang mengesahkan bahawa sekatan rejim Israel terhadap bantuan kemanusiaan di Gaza melanggar undang-undang antarabangsa,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri (PMO).

Anwar berkata, pertemuan tersebut turut memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh kerjasama Malaysia–PBB, termasuk di bawah kerangka ASEAN–PBB, selain menzahirkan sokongan Malaysia terhadap agenda reformasi global PBB, antaranya Pact for the Future dan Inisiatif UN80.

Perdana Menteri turut menegaskan komitmen kerajaan untuk memperkukuh Visi Komuniti ASEAN 2045, seiring Agenda Pembangunan Mampan 2030 (SDG 2030) melalui pelaksanaan Complementarities Initiative 2.0, yang menjadi asas kepada agenda keterangkuman dan kemampanan rantau ini.

Pertemuan selama kira-kira 20 minit itu juga membincangkan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025, termasuk dalam memudah cara rundingan damai antara Thailand dan Kemboja, serta memajukan dialog inklusif bagi mencari penyelesaian terhadap krisis di Myanmar.

Selain isu serantau, kedua-dua pemimpin turut membincangkan komitmen terhadap agenda perubahan iklim global, termasuk persiapan Malaysia untuk menyerahkan Sumbangan Ditentukan Negara (NDC) 3.0 menjelang Persidangan Pihak-Pihak ke-30 (COP30) di Brazil.

“Malaysia akan terus bekerjasama rapat dengan PBB dalam memperjuangkan keamanan, keadilan dan pembangunan mampan di peringkat antarabangsa,” tegas Anwar.

Guterres tiba di Malaysia awal pagi Ahad bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan, yang diadakan di bawah Kepengerusian ASEAN–Malaysia 2025 bertemakan “Keterangkuman dan Kemampanan.”