Malaysia laksanakan MAGERAN

Oleh ADINDA

Beberapa hari ini timbul semula istilah MAGERAN setelah Tun Dr Mahathir Mohamad selesai menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’​ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Sebelum itu, beberapa orang pemimpin politik telah menghadap Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara selepas Baginda bertitah memanggil semua ketua-ketua parti politik menghadap bagi membincangkan hal-hal kesejahteraan rakyat dan negara berhadapan wabak pandemik Covid-19.

 

Apa itu MAGERAN

Majlis Gerakan Negara (Mageran) ditubuhkan pada 15 Mei 1969, dua hari selepas pengisytiharan darurat. Timbalan perdana menteri Abdul Razak Hussein dilantik sebagai pengarah Mageran dengan ahli-ahlinya terdiri daripada Tun Dr. Ismail, Tan Sri Ghazali Shafie, Tunku Osman Mohd. Jewa, Tan Sri Mohamad Salleh, Leftenan Dato’ Ibrahim Ismail, Presiden MCA dan Presiden MIC serta diberikan kuasa eksekutif penuh.

Pada dasarnya fungsi MAGERAN ialah untuk mengawal ketenteraman, mempastikan kelicinan pentadbiran negara dan mengawal keadaan harmoni serta saling mempercayai di kalangan rakyat pelbagai kaum. Dua permasalahan utama yang perlu diselesaikan oleh MAGERAN ialah masalah perpaduan kaum dan ketidakseimbangan ekonomi antara kaum.

Tun Razak kemudian menubuhkan Jabatan Perpaduan Negara dan Majlis Perundingan Negara untuk menenangkan hubungan kaum selepas tragedi 13 Mei serta mewujudkan mekanisme semak dan imbang dalam pentadbiran.

Mageran dibubarkan pada 23 Februari 1971

Menurut Dr. Chandra Muzaffar, seorang aktivis dan pemikir politik dalam temu bual bersama Free Malaysia Today mengatakan Perdana menteri ketika itu, Tunku Abdul Rahman, memilih untuk tidak memegang MAGERAN dan melantik timbalannya, Abdul Razak Hussein, sebagai pengarahnya.

Dr. Chandra Muzaffar

“Tunku berkata beliau mahu seseorang yang boleh memberi perhatian penuh, Razak jauh lebih muda. Oleh itu, beliau melantiknya untuk peranan itu,” kata Chandra.

Dengan negara yang baru saja mengadakan pilihan raya, belum ada Jemaah Menteri yang dilantik. Oleh itu, beberapa ahli Jemaah Menteri Tunku sebelum ini dilantik untuk berada di bawah MAGERAN.

Ahli terkemuka termasuk Dr Ismail Abdul Rahman, VT Sambanthan, Tan Siew Sin dan Muhammad Ghazali Shafie. Ketua angkatan tentera Tengku Osman Jiwa dan Ketua Polis Negara Mohamed Salleh Ismael juga menjadi ahli majlis.

Sebelum pilihan raya umum, Ismael telah meletak jawatan sebagai menteri dalam negeri, atas faktor kesihatan. Tetapi apabila ditawarkan Razak, beliau terus bersetuju untuk berkhidmat dengan majlis berkenaan.

Tan, presiden MCA, dan Sambanthan, presiden MIC, masing-masing adalah Menteri Kewangan dan Menteri Kerja, dalam Jemaah Menteri sebelum ini. Ghazali adalah setiausaha tetap di Kementerian Luar Negeri.

MAGERAN sama seperti Jemaah Menteri, dengan ahli majlis bertugas mengikut portfolio mereka.

Anggota MAGERAN 1969

Tugas utamanya adalah untuk memulihkan undang-undang dan peraturan. Dengan perintah berkurung dan tentera dikerahkan, ia mencapai tujuannya untuk mewujudkan semula perdamaian dalam beberapa bulan.

Terdapat konflik berlaku beberapa bulan selepas 13 Mei, tetapi majlis itu menanganinya dengan cepat, kata Chandra.

MAGERAN berperanan dalam menentukan hala tuju sosial dan ekonomi negara dengan menubuhkan badan-badan seperti Majlis Perundingan Negara (NCC) dan Majlis Muhibah.

NCC, yang dipengerusikan Razak, terdiri daripada wakil pelbagai komuniti, parti politik, badan profesional, kesatuan sekerja, kumpulan perniagaan dan lain-lain. Antara tugas utamanya adalah mengusahakan dasar ekonomi yang bertujuan untuk mengurangkan kemiskinan, mengagihkan semula kekayaan ekonomi dan memberi sokongan kepada Bumiputera.

Dasar itu, yang kemudian dikenali sebagai Dasar Ekonomi Baru (DEB), “berusaha untuk membasmi kemiskinan tanpa mengira etnik dan menyusun semula masyarakat supaya pengenalan etnik dengan fungsi ekonomi dapat dikurangkan”, kata Chandra.

NCC juga mewujudkan Rukun Negara dalam usaha menjalin perpaduan antara rakyat Malaysia demi kejayaan dan kestabilan negara. Ia adalah senarai lima prinsip dan lima cita-cita negara dan kekal menjadi sebahagian daripada sistem pendidikan kebangsaan sehingga hari ini.

Adakah MAGERAN perlu ditubuhkan semula? Menurut Chandra, ia tidak perlu kerana keadaan sekarang berbeza walaupun terdapat perisytiharan baharu darurat.

Katanya, darurat pada 1969 diisytiharkan atas alasan keselamatan dan MAGERAN diperlukan untuk memulihkan kedaulatan undang-undang dan mengelakkan sebarang kekerasan daripada semakin teruk.

“Sebab utama MAGERAN sangat diperlukan adalah untuk menangani rusuhan yang tercetus,” katanya. “Kita memerlukan sebuah badan yang boleh menangani situasi keselamatan, keganasan, pembunuhan dan sebagainya.

“Dalam keadaan darurat yang diisytiharkan Januari lalu, ia jelas adalah darurat kesihatan.”

 

Parti politik menolak cadangan MAGERAN

PH menolak candangan penubuhan Majlis Gerakan Negara (Mageran), seperti pada 1969, yang dibawa bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

PH sebaliknya sekali lagi menggesa penguatkuasaan darurat ditamatkan dan Parlimen kembali bersidang.

“Sebagai parti yang menjunjung prinsip demokrasi berparlimen, PH menolak cadangan Mageran ini berdasarkan pendirian konsisten kami bahawa darurat perlu ditamatkan segera dan Parlimen perlu dibuka semula sekarang.

“Penyelesaian kepada masalah rakyat dalam isu Covid-19, ekonomi, malah juga politik memerlukan demokrasi yang berfungsi dengan baik, dan ruang terbaik untuk mendengar suara rakyat serta mencari penyelesaian ialah di Parlimen,” kata Majlis Presiden PH

UMNO juga menolak cadangan diwujudkan MAGERAN dengan beranggapan penubuhan MAGERAN adalah sesuatu yang di luar keadaan norma dan mempunyai agenda kepentingan tertentu.
Ketua Pemuda UMNO juga menyatakan bantahan dalam kenyataannya mengatakan UMNO tak tuntut MAGERAN, UMNO tuntut 5 perkara utama untuk rakyat.