Realtime website trackingweb stats

Mahu tingkat stamina, selain bersenam ini rupanya amalan Lah Ahmad menjelang konsert

Oleh FATIN AQILAH

Jarang rasanya kita dengar penyanyi melakukan amalan ini bagi tujuan meningkatkan stamina menjelang hari berlangsungnya konsert.

Kalau bersenam itu, biasalah. Namun, bagi penyanyi Lah Ahmad beliau rupanya menjadikan amalan berpuasa demi memberi persembahan yang mantap di pentas.

Berusia 43 tahun, bekas anggota VE itu memberitahu berpuasa adalah rutin beliau setiap kali mahu mengadakan persembahan besar.

Sudah 25 tahun berkecimpung dalam industri muzik, beliau kini giat melakukan persiapan terakhir dari segi mental dan fizikal menjelang konsert Lah Ahmad Jatuh Cinta, 7 Oktober ini.

Persembahan bapa kepada tiga cahaya mata itu bakal berlangsung di panggung berprestij Istana Budaya malah ada seleksi dendangannya nanti diiringi pemuzik orkestra.

“Konsert dijangka berdurasi dua jam dengan sekitar 20 buah dendangan, jadi saya perlu menjaga stamina supaya terus bertahan sehingga akhir garisan.

“Selain bersenam, berpuasa juga banyak membantu untuk kekal cergas sepanjang persembahan bagi memberikan impak maksimum,” dipetik Kosmo.

Lah yang juga sering dilihat menyampaikan lagu-lagu nasyid di saluran TV AlHijrah dan Astro Oasis menyedari pentingnya kesihatan berada pada tahap terbaik pada hari menjelang persembahan.

“Dalam situasi sekarang, kita mendapat jangkitan demam akibat virus, jadi buat sementara waktu saya cuba elakkan berada di kawasan padat.

“Ini sebagai langkah berjaga-jaga kerana apabila demam, secara tidak langsung boleh mengganggu tekak dan vokal, jadi kita ambil langkah perlu,” ujar pelantun lagu Kenapa itu lagi.

Baca:

Pasangan bercerai gara-gara cemburu beli iPhone 15 Pro Max, siap ugut saman isteri sendiri

Baru berjinak dengan sukan basikal? Ini 12 perkara anda wajib tahu supaya tidak tertipu

Dusun Musang King dikunjungi selebriti rupanya ceroboh hutan simpan, boleh pula bina rumah rehat