Setiap mesin basuh mempunyai sukatan muatan yang tersendiri. Jika muatan melebihi had,
ia boleh menjejaskan fungsi mesin basuh dalam mencuci pakaian dengan bersih.
Namun, terdapat kekeliruan dalam kalangan masyarakat sama ada muatan dikira berdasarkan berat pakaian sahaja atau termasuk air.
Mari kita ikuti penjelasan lanjut dari juruteknik dikenali sebagai Abang Elektrik di laman TikTok.
Jenis Mesin Basuh
Dua jenis mesin basuh yang popular adalah muatan hadapan (front load) dan muatan atas (top load).
“Untuk mesin basuh top load, muatan dikira termasuk baju dan air, manakala untuk mesin basuh front load, hanya baju sahaja yang dikira sebagai muatan.
“Sebab itu, jika dibandingkan kedua-dua jenis mesin basuh ini dalam kapasiti yang sama, front load boleh memuatkan lebih banyak baju dalam satu masa,” jelas Abang Elektrik.
Petua Menetapkan Muatan Baju
Abang Elektrik juga berkongsi tips untuk menentukan muatan baju yang sesuai bagi kedua-dua mesin basuh agar hasil basuhan memuaskan.
“Pertama, kita perlu memahami cara mesin basuh berfungsi. Mesin basuh front load menggunakan 100% putaran drum untuk mencuci pakaian.
“Sebaliknya, mesin basuh top load menggunakan pulsator (motor) di tengah untuk menggerakkan air bagi mencuci pakaian. Sebenarnya, tidak perlu menggunakan penimbang untuk mengukur berat baju sebelum membasuh.
“Contohnya, untuk mesin basuh top load, saya sarankan muatan baju tidak melebihi tiga per empat daripada ruang tong drum. Pastikan kuantiti air yang diisi boleh melebihi muatan baju.
“Jika pakaian diisi sampai penuh, pulsator sukar untuk membuat putaran air dan baju tidak dapat dicuci dengan bersih. Jadi, bagi pengguna top load, perlu berpada-pada semasa memasukkan baju,” terang Abang Elektrik.
Bagi mesin basuh muatan hadapan, ia boleh diisi sehingga maksimum.
“Seperti yang saya sebutkan tadi, mesin basuh front load menggunakan 100% putaran drum, jadi tiada masalah jika ingin mengisi baju sampai penuh; pakaian tetap boleh dibersihkan dengan efisien,” ujar Abang Elektrik.
BACA: Nasi sedap macam hotel mewah, ini bahan dia guna rupanya