Akibat terlalu teruja untuk membeli rumah, seorang pembeli terus menurunkan tanda tangan
Dengan pemaju perumahan tanpa membuat semakan latar belakang syarikat tersebut.
Akhirnya, projek perumahan itu terbengkalai dan wang yang telah dibayar pun hilang begitu sahaja.
Tiada siapa yang mahu mengalami kejadian yang menyedihkan ini.
Oleh itu, salah satu langkah penting yang perlu diambil adalah dengan menyemak latar belakang pemaju perumahan yang bertanggungjawab atas projek yang hendak dibeli.
Mari kita lihat apa yang perlu dilakukan sebelum membuat komitmen untuk membeli hartanah.
PEMAJU PERUMAHAN
1. Semak maklumat syarikat pemaju di SSM
Langkah pertama adalah dengan melakukan carian maklumat syarikat pemaju di laman web ssm-einfo. Syarikat yang beroperasi di Malaysia perlu berdaftar di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Jangan lupa untuk mendaftar akaun terlebih dahulu dan membuat bayaran bagi dokumen yang diperlukan. Anda boleh merujuk panduan yang disediakan di laman tersebut.
Semasa melakukan carian, pastikan anda mendapatkan maklumat penting seperti profil syarikat, sejarah projek, pencapaian, serta status kewangan. Pastikan juga syarikat tersebut memang terlibat dalam industri pemajuan hartanah dan tidak menyembunyikan perniagaan lain di sebaliknya.
2. Lakukan carian di internet
Carian di internet dan media sosial juga boleh membantu anda mendapatkan maklumat yang lebih lanjut tentang pemaju perumahan yang anda pilih.
Sebagai contoh, anda boleh menyemak forum-forum seperti Lowyat dan juga komuniti Facebook yang membincangkan kawasan perumahan yang berkaitan.
Periksa beberapa perkara penting seperti:
Adakah pemaju perumahan ini mempunyai rekod buruk atau telah disenaraihitamkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT)?
-Adakah pemaju mempunyai laman web atau akaun media sosial yang memudahkan anda menghubungi mereka untuk sebarang pertanyaan?
-Perhatikan pengalaman pembeli rumah terdahulu yang pernah membeli hartanah daripada pemaju ini, yang boleh ditanya melalui komuniti Facebook kawasan tersebut.
-Adakah terdapat sebarang aduan atau reputasi buruk yang dilaporkan oleh media?
3. Semakan di portal rasmi KPKT
Anda juga boleh menghubungi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk menyiasat latar belakang pemaju, termasuk prestasi dan rekod mereka. KPKT sering mengemas kini senarai pemaju yang bermasalah di laman web mereka.
KPKT mengklasifikasikan beberapa kesalahan pemaju, antaranya:
-Pemaju yang beroperasi tanpa lesen.
-Pemaju yang terlibat dalam projek perumahan terbengkalai.
-Pemaju yang ingkar dalam Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah (TTPR).
-Pemaju yang gagal membayar kompaun bagi projek yang melampaui tempoh Perjanjian Jual Beli.
4. Semak sama ada pemaju mempunyai lesen atau tidak
Setiap pemaju perumahan wajib memiliki lesen pemaju di bawah Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Perlesenan). Walau bagaimanapun, ada juga pemaju yang menjalankan projek tanpa lesen sah.
Berikut adalah cara untuk menyemak lesen pemaju perumahan:
1.Periksa nombor lesen dan permit yang tertera pada iklan atau brosur, yang dikenali sebagai Advertising Permit and Developer License (APDL) atau Lesen Permit Pengiklanan Pembangunan. Pemaju wajib mempamerkan nombor lesen ini pada setiap iklan dan papan projek.
2.Anda boleh membuat semakan nombor lesen pemaju melalui Pihak Berkuasa Tempatan yang mempunyai data pemaju dalam sistem OSC3+.
Dengan melakukan semakan dan langkah-langkah ini, anda dapat memastikan bahawa anda membeli hartanah daripada pemaju yang sah dan mempunyai rekod yang baik.
BACA: Selepas difatwakan haram, Yang di-Pertua negeri Melaka tarik gelaran Datuk milik Ceo GISBH