Lee Zii Jia mempunyai alasan tersendiri mengapa dia gagal menampilkan prestasi terbaik ketika tersingkir di pusingan pertama Kejohanan Badminton Terbuka China semalam.
Dalam perlawanan yang berlangsung di Gimnasium Xincheng, Changzhou, pemain No.3 dunia itu
mengalami kekalahan mengejut apabila tewas 15-21, 2-21 kepada Koki Watanabe dari Jepun dalam tempoh 29 minit.
Zii Jia, yang juga pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024, menjelaskan bahawa tubuhnya masih belum pulih sepenuhnya selepas kembali dari temasya sukan tersebut.
“Pada set pertama, saya mendahului dengan jurang mata yang besar, tetapi tidak berjaya memenanginya.
Secara jujur, kondisi badan saya masih belum pulih sepenuhnya dan saya perlu bekerja keras untuk kembali ke tahap terbaik.
“Saya tidak pernah menyebut tentang kecederaan ini kepada media. Selepas Olimpik, badan saya terasa pelik dengan pelbagai kecederaan yang mula muncul, dan saya sendiri tidak tahu mengapa,” katanya kepada BWF selepas perlawanan tamat.
Kekalahan itu menyaksikan Zii Jia masih belum berjaya mencatat kemenangan ke atas Watanabe dalam dua pertemuan setakat ini, dengan perlawanan pertama di Terbuka Switzerland tahun lalu juga memihak kepada pemain Jepun tersebut.
Meskipun kecewa dengan keputusan tersebut, Zii Jia bertekad untuk kembali ke kondisi terbaiknya bagi melayakkan diri ke kejohanan Jelajah Dunia Akhir yang dijadualkan berlangsung di Hangzhou, China, Disember depan.
“Kecederaan ini agak pelik kerana saya merasai kesakitan di seluruh badan, termasuk di bahagian siku dan belakang yang terasa tegang. Saya berharap keadaan ini akan bertambah baik.
“Ini adalah sesuatu yang perlu saya atasi bagi memastikan saya dapat kembali ke tahap terbaik dan layak ke Jelajah Dunia Akhir nanti,” ujar bekas juara Asia dan All England itu.
BACA:Â Anak bising di kedai makan, selain beri telefon, ini cara lebih berkesan diamkan budak