Realtime website trackingweb stats

Lebuhraya Gombak Bentong dinaiktaraf 3 lorong, tambah terowong baharu

Oleh ARIF ABDULLAH

Tan Sri Azmil Khalili Khalid, Pengerusi Kumpulan AFA (dahulunya dikenali sebagai Anih Berhad),

Beliau meminta kesabaran pengguna jalan raya selama empat tahun akan datang semasa projek menaik taraf Lebuhraya KL-Karak dan LPT1 dilaksanakan.

Projek ini dijangka bermula pada Januari 2025 dengan kos RM2.1 bilion dan mengambil masa 48 bulan untuk disiapkan.

Lebuhraya KL-Karak dan LPT1, yang menghubungkan Lembah Klang dengan Pantai Timur Semenanjung Malaysia,

akan diperluas dari Gombak ke Bentong. Projek ini dijalankan oleh Kumpulan AFA tanpa menggunakan dana awam.

Lebuhraya Gombak Bentong dinaiktaraf 3 lorong, tambah terowong baharu

Walaupun ada kemungkinan kenaikan kadar tol, keputusan itu akan ditentukan oleh kerajaan.

Perluasan Laluan dan Penambahan Terowong Baru

Naik taraf ini melibatkan penambahan lorong baharu dari Gombak ke Bentong. Laluan dari Plaza Tol Gombak ke Genting Sempah yang kini mempunyai tiga lorong akan dinaik taraf menjadi empat lorong di setiap arah, meningkatkan kapasiti sebanyak 25%.

Bagi laluan dari Genting Sempah ke Plaza Tol Bentong, ia akan dinaik taraf daripada dua lorong kepada tiga lorong di setiap arah. Terowong Genting Sempah yang sedia ada tidak akan diperluas, tetapi terowong baharu akan dibina 30 meter di sebelah kiri terowong sedia ada arah timur.

Dengan tiga terowong, ia membolehkan dua terowong digunakan untuk satu arah ketika kesesakan tinggi, seperti waktu balik kampung. Ini juga memudahkan kerja penyelenggaraan tanpa menjejaskan kelancaran trafik.

Ciri Keselamatan dan Penambahbaikan Lain

Projek ini turut memperkenalkan beberapa ciri baharu untuk meningkatkan keselamatan pengguna:

* Lorong kecemasan selebar tiga meter, yang jarang ada di lebuh raya berbukit.
* Pencahayaan penuh sepanjang Lebuhraya Karak/LPT1, berbanding hanya separuh laluan yang mempunyai lampu ketika ini.
* Kerja penstabilan cerun, penambahbaikan sistem saliran untuk mengelakkan banjir, dan pemasangan semula perabot jalan.

Tiada Penutupan Lorong Semasa Pembinaan

Menurut Naib Presiden Kanan Kumpulan AFA, Vijayaraj Govindarajoo, projek ini tidak akan melibatkan penutupan lorong sepenuhnya. Sebaliknya, lorong kecemasan akan digunakan, namun pemasangan kon dan penghadang mungkin menyebabkan pengguna memperlahankan kenderaan, yang boleh meningkatkan kesesakan.

Siap 2029, Demi Keselesaan Masa Hadapan

Projek ini tidak memerlukan pengambilan tanah baharu kerana laluan tambahan masih berada dalam sempadan lebuh raya sedia ada.

Dengan pelbagai penambahbaikan yang dirancang, projek ini dijangka memberikan pengalaman perjalanan yang lebih baik dan selamat untuk pengguna Lebuhraya Karak dan LPT1.

Sehingga ia siap pada 2029, marilah kita “bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian.”

BACA: Patutlah ramai beratur, rupanya pemilik restoran terkenal cuci pinggan guna air sampah!