Kes budak maut tertinggal dalam kenderaan boleh dielak jika ibu atau bapa toleh seketika ke ‘seat’ belakang sebelum tinggalkan kereta.
Pada 30 Januari lalu, seorang kanak-kanak perempuan maut selepas ditemukan tidak sedarkan diri di dalam kereta ibunya.
Kenderaan jenis Perodua Axia itu diparkir berdekatan pintu belakang Hospital Shah Alam.
Menurut Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim, polis menerima laporan berhubung insiden itu daripada seorang pegawai perubatan hospital terbabit pada jam 8.01 malam.
Jelasnya, hasil siasatan awal mendapati mangsa yang berusia lima tahun dipercayai ditinggalkan oleh ibunya secara tidak sengaja di dalam kereta itu selepas mangsa diambil dari sebuah TASKA dekat tempat kejadian sekitar jam 2 petang.
“Ketika ditinggalkan, mangsa dikatakan berada dalam keadaan tertidur dan enjin kereta dimatikan.
“Ibu mangsa berusia 34 tahun yang juga kakitangan hospital itu dipercayai hanya menyedari insiden terbabit selepas dihubungi suaminya pada jam 6 petang.
“Mangsa kemudian dibawa ke Jabatan Kecemasan, Hospital Shah Alam, dalam keadaan tidak sedarkan diri.
“Kanak-kanak itu disahkan meninggal dunia setelah usaha menyelamatkan mangsa dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, bedah siasat sudah dijalankan pada jam 2 petang, 31 Januari dengan keputusan ‘pending laboratory investigations’.
Hasil pemeriksaan ke atas mangsa, ujarnya, juga mendapati tidak ada sebarang kecederaan luaran mahupun dalaman pada kanak-kanak itu.
Mohd Iqbal berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Sekiranya sabit kesalahan, boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya.
“Orang ramai dinasihatkan lebih berhati-hati ketika mengambil anak-anak mereka pulang dari sekolah atau TASKA, terutama yang masih kecil supaya kejadian seperti ini tidak berulang lagi.
“Mana-mana individu yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes ini, boleh menghubungi Inspektor Syer Aidid melalui talian 013-6544996,” katanya.
Baca:
Port beli jiwa ‘aesthetic’ dan cantik yang jual cromboloni ‘crunchy’
Penternak babi Pulau Pinang dapat RM6 juta, rupanya pasal ini dapat pampasan
Jadi ketua negara ke-17, jom kenali sedikit sebanyak latar belakang Sultan Ibrahim